Tidak ramai yang mahu memilih kerjaya sebagai penggali kubur berbanding kerjaya yang bergaji lumayan tempat selesa dan ada kedudukan. Adakah pendapatan sebagai penggali kubur lumayan? Zaharol Zainal Abidin, bangga dengan pekerjaannya sebagai penggali kubur mewarisi tugas bapanya di Tanah Perkuburan Kampung Cheras Baru.
“Wang hasil menggali kubur inilah yang bapa kami gunakan untuk menyara kami adik-beradik seramai 11 orang. Selaku anak sulung saya tidak mahu menyusahkan keluarga. Lagipun saya memang tidak minat hendak meneruskan persekolahan dan hanya tamat di tingkatan tiga.
“Mulanya memang bapa saya membantah dengan keputusan tersebut tetapi lama-kelamaan dia dapat menerimanya dan berpesan supaya saya tidak menyalahkan dia pada masa depan,” cerita Zaharol.

Menurut Zaharol, sejak 1985 dia mula mengikut bapanya menggali kubur dan ketika berumur 15 tahun membantu bapanya menggali kubur. Tiga orang diperlukan bagi menggali sebuah lubang kubur berukuran 6 x 3. Paling lama masa diperlukan 1 1/2 jam untuk menyiapkan sebuah lubang kubur.
Kesusahan menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menetap selama lima belas tahun di kawasan setinggan berhampiran kawasan perkuburan yang dijaganya sekarang.
“Minat untuk menjadi penggali kubur ini datang dengan sendirinya. Lagipun bapa saya susah selain menggali kubur dan kerja bertukang inilah pendapatannya untuk menyara kami adik beradik. Saya rasa inilah yang perlu saya lakukan bagi membantu keluarga.
“Pertama kali menggali kubur, saya merasa takut tergali kubur sebelah, tapi saya beranikan diri kerana bapa berpesan pengalaman ini akan mengajar saya banyak perkara yang tidak boleh diperoleh di tempat lain,” kata Zaharol, bekas pelajar Sekolah Menengah La Salle, Jalan Peel ini.

Menurut Zaharol lagi, pernah dalam sehari lima buah lubang kubur yang terpaksa digali kerana ramai orang yang meninggal dunia pada hari tersebut. Sekali tolong, bapa bagi upah sebanyak RM70 yang digunakan untuk kegunaan keluarga.
“Bagaimanapun, kini bapa saya sudah bersara dan tanggungjawab menggali kubur dan menjaga kawasan persekitaran kubur ini diserahkan kepada saya dan adik-adik untuk mengurusnya,” jelasnya lagi.
Selain menggali kubur, Zaharol dan adik-adiknya, Mohd. Rizal dan Mohd. Riduan turut menguruskan perniagaan membuat kepok, selak/rehal dan batu nisan.
“Kami bekerja dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 6.00 petang. Jika tidak menggali kubur kami akan habiskan masa membuat tempahan pakej batu nisan, selak/rehal dan kotak pada harga RM850.
“Untuk menggali lubang kubur pula bayaran yang dikenakan RM280, di mana RM150 adalah upah menggali kubur dan selebihnya diserahkan kepada masjid untuk Tabung Badan Khairat Kematian.’’ jelasnya mengenai tugas mereka.

Pengalaman Menggali Kubur
Zaharol yang juga dikenali sebagai Along berpengalaman lebih 17 tahun menggali kubur pasti mempunyai banyak cerita yang boleh dikongsi dengan masyarakat luar.
“Tugas menggali kubur bukan mudah sebab cabaran yang perlu dihadapi termasuk perkara pelik dan aneh sepanjang menggali kubur.
Antaranya pengalaman yang saya lalui adalah air meleleh dari tanah yang tidak diketahui dari mana puncanya sedangkan kawasan yang digali itu terletak di atas bukit. Walaupun air masih terus mengalir namun kami tetap mengebumikan jenazah di dalam kubur tersebut. Syukur tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Kadang-kadang sewaktu hendak menggali kubur tiba-tiba ular tedung lalu. Banyak kali juga saya melalui pengalaman ini, tidak termasuk saya ‘diusik’ ketika sedang menggali,” katanya berkongsi cerita.

Zaharol turut berkongsi cerita tentang orang memberi salam semasa sedang menggali kubur untuk budak kecil berukuran 2×2. Setelah menjawab salam dia menoleh untuk melihat orang yang memberi salam tetapi tidak ada sesiapa , esoknya dia demam seminggu.
“Kadang-kadang ketika saya sedang menggali kubur saya dengar orang panggil oii… tapi kami buat buat selamba sahaja, kuatkan semangat dan terus menggali. Sekarang ini saya dah biasa dengan benda-benda pelik begini,” katanya yang sering memohon perlindungan Allah dengan mengamalkan bacaan selawat dan bismillah ketika memulakan kerja menggali kubur.
Artikel keluaran Wanita – November 2011