MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli menasihatkan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang menempelak Kerajaan Perpaduan kerana isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) agar tidak terikut-ikut rentak pembangkang.
Beliau berkata menerusi pertemuan bersama Hassan sebelum ini, beliau telah menasihatkan veteran PKR itu untuk terus berhubung dengannya atau pun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya mempunyai sebarang kekeliruan berhubung isu tersebut.
“Kami dah berikan penjelasan kepada dia. Saya ingat lepas berikan penjelasan dia tak buat kenyataan lagi tapi dia buat juga.
“Jadi, saya dah maklumkan kat dia bahawa jangan hanya terikut-ikut dengan rentak yang kadang-kadang dimainkan oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka Parlimen Pandan, memetik laporan FMT.
BERITA BERKAITAN OPR naik 25 mata asas kepada 3 peratus
Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Hassan supaya beliau dan Anwar menjelaskan kenaikan OPR kepada 3% serta tidak mahu rakyat yang tidak berpuas hati, “menempelak” kerajaan dalam PRN akan datang.
Hassan turut mengingatkan Bank Negara (BNM) untuk bergerak seiring dengan kerajaan pimpinan Anwar yang sedang berusaha membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut berdepan krisis kos sara hidup yang parah.
Mengulas lanjut berhubung PRN, Rafizi berkata, keputusan undian tidak sepenuhnya bergantung kepada isu kenaikan OPR mahupun pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebaliknya terdapat isu lain juga.
“Jadi, setakat ini penerimaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan perpaduan nampak baik, sebab itu walaupun tidak diumumkan tapi saya mengikuti dengan dekat,” katanya.
Rafizi yang juga timbalan presiden PKR turut menolak andaian Hassan akan berdepan tindakan kerana menegur kerajaan.
BNM baru-baru ini menaikkan kadar OPR kepada 3%, iaitu kadar faedah sama sebelum pandemik Covid-19.
OPR mewakili kadar faedah minimum yang dikenakan bank untuk pinjaman antara bank dan ditetapkan oleh BNM.
Ia antara alat digunakan bank pusat untuk menggubal dasar kewangan bagi mengawal bekalan wang negara, selain mengawal inflasi yang disebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram