Gua Krubera terletak di Abkhazia, Georgia yang berada di bawah penguasaan Rusia. Nama gua Krubera diambil daripada seorang ahli geologi Rusia, Alexander Kruber. Beliau terlibat dalam aktiviti jelajah struktur gua berkenaan pada tahun 1960-an.

Bagaimanapun, proses menjejak kedalaman gua ini dikatakan telah bermula sejak tahun 1956. Pasukan pengkaji dari Perancis merupakan kumpulan individu pertama yang terlibat dalam jelajah gua tersebut.

Pada masa itu, mereka berjaya turun di bawah paras 1,000 meter bersamaan 3,281 kaki. Kejayaan tersebut menimbulkan semangat baru terhadap golongan ekspedisi seterusnya untuk turun lebih dalam sehingga mencapai bacaan 2,000 meter.

Berdasarkan ‘Encyclopedia of Caves’ suntingan William B. White dan  David C. Culver, sasaran tersebut ditetapkan secara rasmi pada tahun 2001 melalui projek panggilan jurang (call of the abyss).

Gua Krubera dicatatkan sebagai gua paling dalam yang pernah dijelajah manusia.

Pada Oktober 2004, gua Krubera benar-benar mencapai kedalaman yang disasarkan apabila berjaya dijejaki sehingga paras 2,080 meter. Bacaan baru seterusnya diperoleh pada peringkat 2,197 meter bersamaan 7,208 kaki. Kedalaman tersebut lebih kurang bersamaan dengan enam tingkat setengah Menara Eiffel yang disusun di atas satu sama lain. Tinggi bukan?

Disebabkan itu, gua ini pernah dicatatkan sebagai gua paling dalam di dunia yang pernah dijejaki manusia. Menurut sumber National Geographic, fakta itu dibuat berdasarkan kedalaman lubang melebihi bacaan 2,000 meter.

Sungguhpun begitu, untuk sampai ke fasa berkenaan, pelbagai cabaran perlu dilalui oleh kumpulan pengkaji. Perjalanan memasuki gua Krubera bermula dari pintu masuk di bahagian atas menghala ke bawah. Pasukan terlibat perlu bergantung sepenuhnya dengan tali keselamatan untuk turun ke dalam gua ini.

Memasuki struktur rongga dengan kedalaman luar biasa bukan satu perkara mudah. Perjalanan keluar masuk ke dalam gua tidak berlaku dalam tempoh sehari. Sebaliknya, mencapai masa selama berminggu-minggu. Bahkan, kajian ke atas lubang semula jadi ini mengambil masa bertahun-tahun untuk tiba ke titik yang disasarkan.

Selain itu, pasukan penyelidik tidak terlepas daripada mengalami keadaan sejuk luar biasa apabila berlakunya pengurangan ke atas suhu di dalam gua. Bacaan suhu sekitar -1.4°C hingga -7.0°C direkodkan semasa aktiviti berkenaan dijalankan. Malah, kesukaran semakin bertambah apabila melibatkan beberapa peralatan berat yang perlu dibawa ketika operasi.

Kedalaman gua Krubera yang berjaya dicapai adalah sejauh 2,197 meter. Namun, rekod itu mungkin telah dikalahkan oleh gua Veryovkina yang terletak di kawasan pergunungan yang sama dengan gua Krubera. Gua Veryovkina mencatatkan kedalaman 2,212 meter oleh pengkaji yang menerokanya pada Mac 2018.

Pun begitu, kedalaman gua Krubera masih terus dikaji. Terdapat beberapa takungan air dalam gua ini yang belum diterokai sepenuhnya dan berkemungkinan besar ia boleh membawa kepada kedalaman yang lebih jauh daripada rekod yang dicatatkan ketika ini.

Gua Krubera.
Masih ada kawsan dalam gua ini yang belum habis diterokai dan ia mungkin mengubah paras kedalaman gua ini di masa akan datang.

Info Tambahan :

•Projek menjelajah gua Krubera melibatkan jumlah pendaki dari 10 buah negara. Antaranya Bulgaria, Rusia, Perancis, Sepanyol dan United Kingdom.

•Di Rusia, gua Krubera turut digelar dengan nama Voronya yang membawa maksud gua gagak. Gelaran tersebut digunakan dalam kalangan peneroka gua di Kyiv, Ukraine sekitar tahun 1980-an berikutan penemuan sarang burung gagak yang banyak di sekitar pintu masuk gua.

•Gua Krubera terkenal sebagai destinasi popular bagi peneroka gua dari kebanyakan negara yang mahu melakukan ekspedisi.

•Hranická propast memegang gelaran sebagai gua bawah air paling dalam di dunia dengan kedalaman 1,286 kaki.

•Gua Hang Son Doong di Vietnam merupakan gua paling besar di dunia dengan ketinggian lebih 200 meter, 150 meter lebar dan lima kilometer panjang. Menariknya, lubang alami tersebut turut mengandungi sungai dan hutan di bahagian dalam.

•Gua kristal terbesar terletak di Naica, Chihuahua, Mexico. Di dalamnya mengandungi kristal dikatakan berusia 500,000 tahun. Struktur semula jadi ini hanya dibuka untuk tujuan kajian saintifik sahaja.

Gua kristal terbesar di Mexico.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram