Kazakhstan adalah negara ketiga terbanyak yang menggunakan daging kuda dalam diet seharian mereka. Stew daging kuda antara hidangan yang popular bagi masyarakat Kazakhstan. Daging kuda dipotong kiub kecil, dijadikan stew yang dimasak dengan campuran lobak merah dan tomato serta herba tertentu direneh sehingga daging kuda empuk.

Di sebuah pasar di bandar Almaty, terdapat banyak orang menjual daging kuda. Mereka suka dengan daging kuda kerana sebahagian daripada mereka berasal dan berketurunan orang nomad yang tinggal di padang rumput sebagai pengembala kuda. Biarpun kehidupan mereka sudah moden sekarang ini, namun mereka tetap meneruskan budaya makan kuda seperti mana nenek moyang mereka terdahulu.

Selain dagingnya, kuda juga boleh menghasilkan susu, dan kemudian dijadikan keju. Daging kuda juga banyak dijadikan sosej yang dinamakan kazy. Daging kuda dimasak dengan pelbagai cara, antaranya dijadikan daging kebab, daging kepingan, burger, sup dan stew. Selain daging kuda, mereka juga gemar dengan daging kambing.

Hidangkan lagman dengan baursaki iaitu donat goreng yang boleh dimakan dengan apa sahaja. Biasanya baursaki dimakan dengan lauk-pauk seperti daging. Bentuknya ada yang bulat, segi tiga, segi empat dan ia tidak berlubang seperti donat-donat biasa.

Kazi, shuzhuk, zhal, zhaya, karta antara masakan yang menggunakan daging kuda. Kebiasaannya mereka makan hidangan kuda dengan nasi ataupun donat goreng yang dinamakan bausaki. Ada juga dijadikan samosa, isinya inti kentang dan daging kuda. Tetapi dipanggil samsa.

SAJI kongsikan hidangan lagman merupakan salah satu mi yang dimakan dengan stew daging kuda, yang kebiasaannya menggunakan daging kambing. Ia seakan mi rebus tetapi orang Kazakhstan menggunakan spageti untuk Lagman.

LAGMAN
BAHAN

1 kg daging kuda – potong kecil
3 sudu besar minyak zaitun
2 labu bawang besar – cincang
4 batang lobak merah – dadu kecil
3 biji cili benggala – dadu kecil
4 biji tomato-dadu kecil
7 ulas bawang putih –tumbuk
4 biji kentang-potong kecil
3 helai daun bay
Garam, serbuk lada hitam, sedikit serbuk ketumbar dan kunyit

CARA PENYEDIAAN

  • Panaskan minyak dan tumis bawang, lobak dan cili benggala.
  • Biarkan masak, dan kemudian masukkan daging kuda, tomato dan bawang putih. Kacau sehingga daging kuda menjadi perang.
  • Tuangkan sedikit air dan masukkan semua bahan perisa dan biarkan ia empuk.
  • Setelah empuk masukkan kentang, biarkan mereneh. Sedia dihidangkan.