PELAKON Liyana Jasmay teruk dikutuk netizen berikutan warna kulitnya kelihatan lebih gelap berbanding sebelum ini.
Lebih mengharukan lagi apabila warganet melabelkan warna kulit aktres berusia 35 tahun itu orang kampung dan tidak seperti selebriti wanita lain yang dilihat semakin putih dan berseri.
“Artis lain makin lama makin putih cantik. LJ (Liyana Jasmay) ni aku tengok makin lama makin hitam dah macam orang kampung dah,” tulis seorang pengguna media sosial.
Walau bagaimanapun, komen tersebut mendapat perhatian Liyana yang meluahkan rasa syukur selain menerima apa sahaja kritikan yang ditujukan kepada dirinya.
Menurut Liyana, dia tetap berbangga dengan warna kulitnya dan enggan mengambil sebarang suntikan untuk memutihkan kulit disebabkan bimbang dengan kesan sampingan pada badannya.
“Warna kulit saya sebenarnya coklat kekuningan tetapi kalau awak rasa itu hitam, saya terima sahajalah.
“Sebab saya tak mahu kulit warna putih pun sebab saya takut kalau suntik putih (suntikan pemutihan) itu ada kesan sampingan,” jelasnya.
Tegas Liyana, warna kulit tidak sepatutnya dijadikan syarat untuk layak bergelar selebriti.
Malah, dia juga bersyukur kerana memiliki suami, Fathuddin Mazlan yang sentiasa berada disisi dan menerima dirinya walaupun kulitnya tidak lagi secerah dahulu.
“Tidak semestinya jadi artis perlu berkulit putih. Lainlah jika memang dilahirkan sudah sedia berkulit cerah.
“Kalau dilahirkan warna kulit orang Melayu, hendak buat macam mana. Mungkin hitam untuk awak tetap putih di hati suami saya,” katanya.