JUMLAH pelarian dan pemohon Suaka yang memegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR) meningkat daripada 75,617 orang pada 2009 kepada 185,760 orang pada Mac 2023.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 160,332 orang adalah pelarian daripada Myanmar dan 107,433 orang daripadanya adalah etnik Rohingya.
Jelas beliau, pelarian daripada negara lain yang mempunyai signifikan ialah Pakistan (7,109 orang), Yemen (3,466 orang) Afghanistan (3,444 orang), Somalia (3,161 orang) dan Syria (3,161 orang).
“Kita juga mengambil maklum terhadap tindakan pihak UNHCR yang mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian daripada Indonesia dan antara alasan yang diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan.
“Kita akan memberikan penekanan terhadap perancangan dan usaha kerajaan untuk mengukuhkan peranan dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.
“Antaranya adalah mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka; penentuan status pelarian; penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka; serta sistem sokongan sosial (hanya kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) di Putrajaya hari ini.
Baca juga: Jangan berpolitik : Zahid nasihatlah dulu ‘pemimpin kanan itu’
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perincian mengenai penguatkuasaan penambahbaikan itu akan dimaklumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, peranan dan penglibatan Entiti Kerajaan, UNHCR dan NGO di dalam negara dan luar negara juga perlu diselaras dan diperkemas dalam isu membabitkan pengurusan pelarian dan pemohon suaka.
Ahmad Zahid berkata, penekanan turut akan diberikan terhadap mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, dasar–dasar membabitkan kebajikan dan sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, pihak UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara.
Menurut beliau, ia selaras mandat dan fungsi penubuhan UNHCR dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan suatu perjanjian bersama pihak UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab UNHCR di dalam negara selaras dengan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950) tersebut.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang didapati bersekongkol dengan ejen-ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini,” katanya.
Untuk rekod, UtusanTV dalam laporan khas empat siri sebelum ini turut melaporkan kerisauan orang ramai tentang peningkatan jumlah Rohingya terutama di Melaka.
Apabila perkara ini diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), isu ini ibarat tiada jalan keluar.
Kepada UtusanTV, pihak Menteri Dalam Negeri meminta untuk menghubungi Jabatan Imigresen tetapi apabila soalan dikemukakan, diam seribu bahasa.
Seolah-olah jalan buntu, masalah Rohingya pusing-pusing ke situ juga. Pi mai pi mai tang tu. Nampaknya belum ada jalan penyelesaian tuntas terhadap masalah Rohingya ini.
Sebelum terlambat perubahan perlu dilakukan. Tindakan mesti dilaksanakan segera. Sampai bila masyarakat tempatan perlu merana dan menjadi mangsa keadaan. Mereka semestinya diutamakan untuk mendapatkan keadilan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram