
PELAKON Hafidz Roshdi mengakui terkilan selepas mendengar berita bahawa kandungan isterinya, Nurul Shuhada mengalami keguguran, Jumaat lalu.
Susulan daripada khabar yang disampaikan menerusi peguam kedua-dua pihak itu, Hafidz telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis bagi siasatan dapat dijalankan bagi mengetahui punca sebenar keguguran tersebut.
“Saya berasa amat-amat sedih atas berita kononnya Shuhada telah mengalami keguguran ini. Shu tidak pernah maklumkan pada Hafidz pada 23 April lalu berkenaan hal ini.
“Apa yang pasti, saya telah mengarahkan peguam saya untuk menulis surat kepada peguam Shuhada, untuk mendapatkan kepastian berkenaan punca dan sebab sebenar yang kononnya Shu telah mengalami keguguran tersebut.
“Saya terpaksa membuat laporan kepada pihak polis dan menyerahkan mereka untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes cerainya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pagi ini.
Tambahnya, alasan lain laporan polis itu dibuat adalah ekoran Nurul Shuhada menuntutnya untuk menggantikan kos keguguran sedangkan tidak pernah menunjukkan sebarang bukti daripada pihak hospital.
Kata pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu lagi, dia sebelum ini telah melakukan laporan polis selepas isterinya memaklumkan kepadanya hasrat untuk menggugurkan kandungan menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, mendengar hasrat itu, dia sama sekali tidak bersetuju untuk Nurul Shuhada menggugurkan kandungan berkenaan.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu laporan itu dibuat kerana menggugurkan kandungan dengan sengaja merupakan satu kesalahan jenayah.
Hafidz turut memberitahu dirinya merindui dua cahaya matanya, Humairah, 6, dan Umar, 2, selepas tidak berkesempatan untuk menemui mereka pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Saya telah mencuba beberapa kali untuk berjumpa dengan anak-anak, termasuklah Hari Raya Aidilfitri ini, namun belum dapat berkesempatan.
“Peguam Hafiz baru sahaja menyerahkan surat kali ketiga untuk cadangan perjumpaan dengan anak-anak. Saya harap sangat permintaan ini dapat dipenuhi kali ini, dan saya dapat meluangkan masa dengan anak-anak, walaupun sekejap,” luahnya.
Hafidz turut memaklumkan kesihatan mental dan fizikalnya berada dalam baik.
“Saya sudah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, alhamdulilllah pihak hospital memberitahu saya dalam keadaan baik,” katanya lagi.
Pada 27 Februari lalu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Bagaimanapun, lafaz cerai yang sepatutnya berlaku pada 21 Mac lalu gagal dilaksanakan selepas mahkamah mendapati ada isu baharu berhubung isu lafaz cerai pasangan tersebut.
Hafidz dan Nurul Shuhada, 29, mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.