Mumbai salah satu daerah yang sesak dan sibuk di India. Dahulu, ia dikenali sebagai Bombay. Kepadatan penduduknya sangat tinggi. Di situlah terletaknya Bollywood, pusat industri hiburan terbesar di Asia.

Namun, kemajuan Mumbai bolah dikatakan tidak seiring dengan kesedaran sivik warganya terhadap alam sekitar. Kebanyakan sisa-sisa kilang perindustrian dan limbahan dialirkan ke sungai-sungai utama di bandar raya itu tanpa pengawalan yang ketat. Disebabkan itu, tahap pencemaran di beberapa batang sungai di Mumbai adalah sangat tinggi.

Salah satu sungai yang teruk tercemar ialah Mahim Creek. Setiap hari, sungai ini menerima bertan-tan sampah dan limbahan perindustrian sehingga airnya menjadi keruh kehitaman. Tiada siapa yang mempedulikan sungai ini melainkan ia hanya menjadi tempat pembuangan sampah semata-mata.

Tetapi, berlaku satu kejadian aneh pada bulan Ogos tahun 2006. Ribuan penduduk di wilayah Mumbai telah berkumpul di sepanjang sungai ini. Mengapa? Kerana sungai yang pada asalnya kehitam-hitaman, kotor, tercemar dan dipenuhi dengan sampah sarap dan sisa kilang itu secara tiba-tiba telah bertukar rasa menjadi manis.

Penduduk yang tinggal di sekitar tebing sungai ini yang lebih dahulu perasan perubahan air sungai tersebut.

Ketika itu, awalnya penduduk setempat merasakan ada sesuatu yang aneh berlaku pada sungai berkenaan. Air sungai yang pada asalnya berbau hapak, keruh dan gelap, secara tiba-tiba bertukar menjadi lebih jernih. Dan apa yang paling mengejutkan ialah rasanya dikatakan berubah menjadi manis.

Perubahan itu disedari oleh beberapa orang penduduk setinggan yang menetap di tebing sungai berkenaan pada 18 Ogos 2006 sekitar tengah malam waktu tempatan. Saksi menyatakan, air sungai itu yang selalunya mengalir perlahan secara tiba-tiba menjadi lebih laju daripada biasa.

Beberapa jam selepas itu, penduduk di Gujarat pula menyatakan hal yang sama. Mereka mendakwa, air laut di tepi pantai Teehal juga telah berubah menjadi manis sekalipun sampah sarap masih kelihatan bertebaran memenuhi segenap tempat.

Apabila berita mengenai perkara ini mula tersebar, berbondong-bondong penduduk di sekitar Mumbai dan Gujarat mula membanjiri pesisir sungai Mahim Creek untuk melihat dan merasai sendiri fenomena aneh itu. Sungai yang sebelum ini langsung tidak dipedulikan, dalam sekelip mata sahaja telah berubah menjadi kawasan tumpuan.

Sungai yang kotor dan tercemar tidak dipedulikan ini tiba-tiba menjadi tumpuan pada Ogos 2006.

Bagi penduduk setempat, perubahan ketara itu ada kaitan dengan rahmat Tuhan. Mereka percaya, ia adalah aliran air suci dan merupakan ubat daripada Tuhan. Justeru mereka mengambil peluang itu untuk menyucikan diri dengan mandi dan meminum air sungai berkenaan kerana percaya ia boleh merawat pelbagai jenis penyakit.

Dalam masa yang sama, pihak berwajib iaitu Dewan Pengendali Pencemaran Maharashtra, sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan India telah mengeluarkan peringatan kepada penduduk setempat supaya tidak meminum air tersebut kerana kandungannya dikhuatiri boleh mengundang bahaya.

Pesuruhjaya Tinggi Maharashtra, Johnny Joseph menyatakan sungai Mahim Creek mempunyai lebih daripada 1500 sisa pepejal dan kandungan klorida dan nitrat yang sangat tinggi. Justeru, ia sangat bahaya untuk diminum. Namun, amaran itu langsung tidak diendahkan oleh penduduk Mumbai.

Malah, sejurus selepas amaran tersebut dikeluarkan, semakin ramai pula orang membanjiri tebing sungai berkenaan. Masing-masing datang dengan membawa bekas seperti botol, baldi dan balang untuk mengisi air sungai yang dianggap suci itu dan dibawa pulang untuk dijadikan sebagai ubat. Bukan sahaja golongan kelas bawahan, tetapi perkara ini turut dipercayai oleh masyarakat kelas atasan berdasarkan kepada kehadiran mereka di sana.

Namun, fenomena aneh itu hanya berlangsung dalam masa beberapa jam sahaja. Sekitar tengah hari berikutnya, air sungai itu dikatakan kembali berubah seperti asalnya dan menjadi payau.

Fenomena air sungai bertukar manis ini atau dinyatakan sebagai ‘Mithi Nadi’ oleh masyarakat setempat ternyata mengundang seribu satu persoalan di kalangan saintis tempatan. Beberapa sampel air kemudiannya telah diambil untuk ujian lanjut.

Menurut Pengarah Institut Oceanography India, S. Shetye, air sungai tersebut sebenarnya bukanlah menjadi manis seperti dakwaan sesetengah pihak, tetapi sebaliknya ia menjadi kurang masin. Ini disebabkan oleh kandungan garam di dalam sungai berkenaan jatuh secara mendadak.

Faktor utama yang menyebabkan perkara itu berlaku adalah disebabkan oleh curahan hujan yang tinggi selama beberapa hari sebelum itu. Air hujan telah membentuk kolam besar di hulu sungai, yang kemudiannya mengalir ke bahagian hilir.

Kerana ketumpatan air yang berbeza, air tawar akan berada di bahagian atas arus sungai manakala air yang lebih asin akan berada di bahagian bawah. Disebabkan itu, orang yang biasa dengan sungai berkenaan akan dapat merasai perubahan rasa yang agak ketara. Dan, keadaan itu kembali normal selepas beberapa jam apabila ketumpatan airnya menjadi sebati.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram