
KEJOHANAN Tembak RMP Open Championship 2023 Level III yang berlangsung baru-baru ini adalah satu kejayaan besar.
Perkara itu menurut Komander Unit Tindakhas merangkap Pengarah Kejohanan, Senior Asisten Komisioner Mohd Suzrin Mohd Rodhi adalah selepas kejohanan tersebut mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pihak kementerian.
Jelas beliau, kejohanan tersebut dianggap cemerlang oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan serta Kementerian Belia dan Sukan.
“Turut berpuas hati dengan penganjuran kejohanan ini adalah pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Perjalanan kejohanan selama seminggu berjalan dengan lancar dan cemerlang. Malah, peserta daripada luar negara turut menzahirkan perasaan kagum dengan penganjuran kejohanan ini,” katanya kepada UtusanTV.
Baca juga: RMP Open Championship 2023 Level III ukir sejarah Malaysia
Mengulas mengenai penganjuran kejohanan tembak ke peringkat lebih tinggi, Mohd Suzrin berkata, masih banyak persediaan perlu dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut.
Antaranya, jelas beliau, adalah dengan mendapatkan kelulusan daripada Konfiderasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) Malaysia.
Selain itu, katanya, penambahan lurah menembak juga perlu dilakukan memandangkan Level V memerlukan sekurang-kurangnya 40 lurah menembak.
“Jumlah lurah menembak yang ada di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS) ketika ini baru ada 16 lurah.
“Apapun isu logisitik perlu dipertingkatkan dahulu sebelum kita menganjurkan Kejohanan Level V, baru perancangan lain menyusul,” katanya.
Untuk rekod, Kejohanan Tembak RMP Open Championship 2023 Level III yang berlangsung selama seminggu bermula 1 Mei hingga 7 Mei mengukir sejarah apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Kejohanan yang berlangsung di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya itu berjaya mencatatkan penyertaan peserta paling ramai dalam sejarah negara.
Jumlah 787 peserta yang menyertai Kejohanan Tembak RMP Open Championship 2023 Level III itu melayakkan ia tersenarai dalam MBOR.
Ia melibatkan penyertaan 10 jabatan; 10 formasi; 14 kontinjen; sembilan briged; 19 batalion dan 15 pusat latihan dalam keseluruhan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, kejohanan tersebut turut menyaksikan penyertaan lapan agensi penguatkuasaan serta lima kelab dan persatuan menembak.
Lebih menarik, ia juga menarik perhatian penembak dari lapan negara iaitu Thailand; Singapura; Hong Kong; Filipina; Emiriah Arab Bersatu (UAE); Macau; Indonesia dan Turkiye.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram