
SEORANG budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan penduduk apabila bertindak memandu sebuah kereta sejauh 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam membabitkan kejadian pada pukul 11.15 malam.
Beliau berkata, pemandu mengalami kecederaan di dagu manakala penumpang yang merupakan adik lelaki berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu yang memandu kenderaan tanpa pengetahuan ibu bapa dan hilang kawalan serta terbabas sebelum masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.
“Siasatan juga mendapati ketika kejadian bapa pemandu sedang tidur, manakala ibu ada dengan mereka dan kemudian ke bilik air.
“Selepas keluar bilik air, ibu mendapati kedua-dua mereka sudah tiada dalam rumah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Jelasnya, kes masih disiasat bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Menurutnya, keadaan tempat kejadian adalah gelap dan jalan lurus.
Shariman berkata, kenderaan yang dibawa oleh kanak-kanak tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk bumper hadapan sebelah kiri.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram