Lima pengerusi baharu badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerima watikah pelantikan daripada Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu. GAMBAR: Facebook Mohamad Sabu

BEKAS Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pelantikan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad, pelantikan Mahfuz dan empat lagi pengerusi badan berkanun di bawah kementerian itu berkuat kuasa Isnin, 15 Mei ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Sukacita dimaklumkan bahawa pelantikan pengerusi bagi lima badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“(Pelantikan) telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca artikel berkaitan: PH-BN bukan ‘kahwin paksa’ tapi dijodohkan – Mahfuz

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memaklumkan pelantikan bekas ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Selain itu, pemimpin DAP, Sheikh Umar Bagharid Ali pula menjadi Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) manakala Dr Azman Ismail Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Saya yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka dalam menerajui dan menggalas amanah serta tanggungjawab dalam menyokong dan memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Tahniah saya ucapkan pada semua yang dilantik,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram