Peseta-peserta menunjukkan aksi menembak pada Kejohanan Tembak RMP Open Championship Level III di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (LKMSS) Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEJOHANAN Tembak RMP Open Championship 2023 Level III yang berakhir Ahad lalu disifatkan ramai pihak sebagai berjaya dan bertaraf antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mahu menaik taraf penganjuran ke Level V pada tahun hadapan.

Level V merupakan kejohanan peringkat dunia yang merupakan tahap tertinggi dalam kalendar Konfiderasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC).

Apa yang pasti, perkara itu tidak mustahil untuk dilaksanakan susulan daripada komitmen diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Malah, keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa sukan menembak perlu dibantu khususnya dalam bentuk infrastruktur supaya lebih berdaya saing menambahkan lagi keyakinan itu.

Kenyataan Hannah sejajar dengan hasrat Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani yang mahu menaik taraf infrastruktur yang terdapat di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya.

Jelasnya, rancangan ini melibatkan tambahan sebanyak 35 lurah bagi membolehkan penganjuran sukan menembak bertaraf lebih tinggi dapat direalisasikan.

“Sekarang kita hanya ada 17 lurah menembak dan lebih 700 ke 800 orang peserta dapat kita tampung dan ini sudah tentu tidak mencukupi untuk perancangan jangka masa panjang.

“Jadi dengan sokongan daripada Kementerian Dalam Negeri, PDRM sendiri dan agensi-agensi terlibat macam imigresen, kastam dan sebagainya, saya berharap kita dapat memajukan lagi sukan menembak praktikal ini,” katanya.

Para peserta antarabangsa melihat, KMSS sebagai lapang sasar terbaik di Malaysia dan setaraf dengan apa ditawarkan di Eropah termasuk Thailand yang menjadi tuan rumah kejohanan menembak dunia tahun lepas.

Baca artikel lain: RMP Open Championship 2023 Level III satu kejayaan besar

Rata-rata mereka menyatakan, fasiliti KMSS serba lengkap seperti kemudahan kawasan keselamatan atau ‘safety area’ yang banyak memudahkan penembak membersihkan senjata.

Selain itu, lokasi KMSS yang terletak di Putrajaya juga menjadikan ia sebagai ‘kawasan emas’ kerana berdekatan dengan tempat penginapan, lapangan terbang serta kemudahan-kemudahan lain.

Kejohanan Tembak RMP Open Championship 2023 Level III menyaksikan penglibatan penembak dari lapan negara luar iaitu Thailand, Singapura, Hong Kong, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Macau, Indonesia dan Turkiye.

Oleh yang demikian, jika semua aspek ini berjaya digemblengkan dengan baik maka hasrat untuk menjadikan sukan menembak sebagai wadah di dalam sektor pelancongan bukan lagi omong kosong.

Buat pengetahuan, 2022 IPSC Handgun World Shoot yang berlangsung di Thailand menyaksikan penglibatan 1,345 peserta dari 73 negara.

Cuba bayangankan manfaat yang bakal diterima oleh sektor pelancongan menerusi penganjuran sukan menembak sebesar ini pada tahun mendatang, ia pasti sesuatu yang amat ditagih oleh pemain ekonomi.

Maka usaha perlu dilakukan bermula daripada sekarang dalam memastikan hasrat melihat Kejohanan Tembak RMP Open Championship Level V tercapai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram