BAGI mengukuhkan kedudukan sebagai pembekal kandungan hiburan utama di Malaysia, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV melakar inisiatif baharu menerusi penganjuran pertandingan Mic On Selebriti yang menggabungkan elemen nyanyian dan komedi bagi merebut gelaran juara sekaligus memenangi hadiah bernilai sehingga RM250,000.

Program Mic On Selebriti bakal bersiaran selama 10 minggu pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam mulai 20 Mei ini secara eksklusif di platform Astro 123 dan MyTV 112.

Mengulas lanjut mengenai pertandingan realiti itu, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, pihaknya sentiasa akur dengan permintaan audiens yang mahukan pengisian berkualiti dan terkini.

“Kini, kami bawakan pula program Mic On Selebriti yang merupakan sebuah lagi testimoni saluran ini dalam menawarkan program-program hiburan beraneka format khusus untuk tontonan ramai.

“Program pencarian bakat Mic On yang mula diperkenalkan pada 2021 dengan misi utama mencungkil pelapis penghibur baharu versatil. Setelah dua musim bersiaran, format asal Mic On disuntik dengan pembaharuan segar untuk kekal relevan sekaligus meningkatkan kredibiliti dan daya tarikan yang lebih besar terhadap program tersebut.

“Penganjuran edisi yang terbaharu bakal menyaksikan pertembungan sengit barisan pelakon popular tanah air yang akan memperlihatkan bakat terpendam dalam bidang nyanyian serta sisi komedi dalam diri mereka.

“Kami percaya kesemua mereka mampu menyahut cabaran ini sekaligus memanfaatkan platfrom yang telah disediakan bagi mengembangkan bakat yang ada untuk menembusi bidang nyanyian pula,” katanya.

Tambah Ezzan, dia berharap penganjuran Mic On Selebriti mampu melonjakkan jenama dan karier seni para peserta ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus bertahan lama dalam bidang hiburan yang kompetitif dan serba mencabar ini.

“Selain itu, kami juga amat berbesar hati di atas kesudian kesemua selebriti yang terlibat dengan program Mic On Selebriti musim ini. Kepercayaan dan komitmen mereka amat dihargai dan kami pasti edisi ini akan lebih meriah dengan kehadiran mereka,” ulasnya.

Program Mic On Selebriti bakal dikendalikan sepenuhnya oleh Shiha Zikir dan Jaa Suzuran yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos musim ini.

12 barisan pelakon popular yang akan berentap di pentas utama Mic On Selebriti untuk membuktikan bakat dan kebolehan masing-masing dalam bidang nyanyian pula adalah terdiri daripada tujuh peserta lelaki iaitu Zul Huzaimy, Fauzi Nawawi, Johan As’ari, Namie, Chiwan, Ammar dan Anas Ridzuan.

Manakala lima peserta wanita pula termasuklah Sherry Ibrahim, Mona Allen, Elly Arifin, Afifah Nasir dan Amyza Aznan. Kesemua mereka akan dibahagikan kepada tiga buah kumpulan dan diletakkan di bawah pengawasan pengurus yang telah dilantik sepanjang pertandingan berlangsung.

Manakala tiga penyanyi terkenal tanah air iaitu Black Hanifah, Hazama dan Aepul Roza telah diberi mandat selaku pengurus yang akan memberi idea, tunjuk ajar dan bimbingan kepada empat orang selebriti di bawah naungan mereka.

Bagi merancakkan lagi cabaran program ini, kesemua pengurus juga akan diberi tugasan mingguan yang perlu dinilai oleh barisan juri. Pengurus yang berjaya merangkul persembahan terbaik setiap minggu akan menerima ganjaran istimewa.

Sistem pemarkahan pula akan diadili 100 peratus oleh pihak juri tetap berdasarkan tiga komponen utama penilaian iaitu aspek vokal yang mewakili 50 peratus, persembahan sebanyak 30 peratus dan 20 peratus lagi untuk kreativiti.

Uniknya, markah selebriti yang tertinggi akan dicampurkan dengan markah selebriti terendah. Kumpulan yang mencatat markah keseluruhan terendah akan mara ke pusingan penyingkiran. Selebriti yang akan tersingkir pada setiap minggu akan dipilih oleh pengurus kumpulan itu sendiri.

Tiga nama besar yang dilantik sebagai juri tetap program Mic On Selebriti ialah Hashridz Murshim atau lebih dikenali dengan nama Datuk Acis yang bertindak sebagai pengarah muzik, Datuk Aaron Aziz serta Erra Fazira.