JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyangkal mesej tular kononnya kematian seorang murid perempuan di Klang adalah akibat strok haba.
Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, murid perempuan berusia 10 tahun itu telah datang mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Klang.
Menurut beliau, murid perempuan berkenaan telah mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan malam pada hari sebelumnya.
Dr Sha’ari memaklumkan, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke klinik dan hasil pemeriksaan mendapati berada dalam keadaan kritikal serta didiagnosa sebagai kes gastroenteritis akut dengan komplikasi.
Baca artikel berkaitan: Ibu bapa ambil peduli cara tangani gejala strok haba, elak perkara tidak diingini berlaku
“Rawatan sewajarnya telah diberikan sebelum beliau dirujuk ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Namun, murid perempuan itu telah meninggal dunia dan dia tidak mengalami strok haba seperti yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dr Sha’ari berkata pihaknya telah menerima makluman berhubung mesej tular mengenai kematian seorang murid perempuan dipercayai strok haba yang melibatkan seorang murid sekolah di Selangor pada 10 Mei lalu.
Sementara itu, Dr Sha’ari turut memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan gejala cirit-birit dan muntah yang dialami.
“Gejala cirit-birit dan muntah yang tidak terkawal berpotensi untuk menyebabkan situasi dehidrasi, apatah lagi dalam musim cuaca panas yang sedang melanda Malaysia ketika ini,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram