DAHULU, ilmu pengetahuan tentang angkasa lepas sangat terbatas yang menyebabkan saintis ragu-ragu untuk melepaskan angkasawan ke angkasa lepas. Namun keinginan untuk mengetahui apakah kesan biologi sepanjang perjalanan ke angkasa dan bentuk kehidupan di luar sana membuatkan para saintis melakukan pelbagai kajian.
Hasil daripada banyak eksperimen mendapati haiwan merupakan satu-satunya hidupan Bumi yang boleh memecahkan segala rahsia dan teka-teki tersebut. Justeru, saintis memilih pelbagai jenis haiwan untuk dipersiapkan menjadi duta Bumi ke angkasa lepas. Setiap haiwan yang dipilih akan dibius dan di implan dengan alat pengesan untuk mengukur tanda-tanda penting semasa perjalanan meninggalkan Bumi.
Sebelum Yuri Gagarin mencipta sejarah menjadi manusia pertama yang berjaya ke angkasa lepas pada April 1961, haiwan terlebih dahulu dihantar untuk misi tersebut.

Projek menjadikan haiwan sebagai angkasawan telah dimulakan pada 20 Februari 1947. Astronaut haiwan pertama yang diterbangkan ke angkasa adalah lalat buah (fruit fly). Lalat ini telah dimasukkan ke dalam sebuah roket V2 dan dilepaskan ke luar angkasa.
Selepas terbang sejauh 109 kilometer daripada permukaan Bumi, kapsul berkenaan akhirnya selamat kembali ke Bumi. Menakjubkan, lalat itu masih hidup dan langsung tidak mengalami sebarang kesan radiasi.
Pada 11 Jun 1949, Amerika Syarikat meneruskan lagi projeknya dengan menghantar pula seekor monyet ke angkasa. Astronaut monyet pertama ini diberi nama sebagai Albert dari spesies monyet Rhesus. Bagaimanapun misi ini tidak berjaya.
Projek sama diteruskan lagi pada 28 Mei 1959, apabila monyet bernama Able dan Baker diterbangkan pula ke angkasa lepas. Kali ini, keduanya berjaya terbang pada ketinggian 579 km dan kembali ke Bumi dengan selamat.
Pencapaian itu adalah rekod pertama penjelajahan angkasa lepas yang melibatkan astronaut monyet yang bertahan hidup sepanjang penerbangan melepasi lapisan atmosfera Bumi tanpa menjejaskan sistem biologi.

Selepas kejayaan itu, haiwan berupa tikus pula menjadi pilihan para saintis. Mamalia daripada spesies Muridae ini telah dimasukkan ke dalam kapsul V2, kemudian dilepaskan ke angkasa lepas pada 31 Ogos 1950. Eksperimen ini tidak berjaya kerana haiwan berkenaan ditemui mati selepas kapsul yang dinaiki mengalami kegagalan payung terjun semasa dalam perjalanan balik ke Bumi.
Dua bulan sebelum Yuri Gagarin berlepas ke angkasa, seekor tikus bernama Hector telah pun diterbangkan terlebih dahulu pada Februari 1961. Penghantaran Hector ke luar angkasa ini merupakan kerja-kerja saintifik para ilmuwan Perancis. Menakjubkan, Hector berjaya melepasi ketinggian 93 km dan dapat kembali ke Bumi dengan selamat.
Kejayaan Hector dan beberapa spesies haiwan lain yang pernah dihantar ke angkasa telah menambahkan keyakinan para saintis untuk membenarkan manusia ke orbit. Sejak itu, peranan astronaut haiwan dalam membantu manusia mengetahui perjalanan ke angkasa lepas telah membuahkan hasil. Namun, projek seumpama itu tidak berhenti di situ.

Pada 22 Julai 1951, negara Kesatuan Soviet melancarkan kapsul R-1 IIIA-1 dengan membawa bersama sepasang anjing betina liar bernama Tsygan dan Dezik ke angkasa lepas. Kedua-duanya menjadi anjing pertama yang mampu bertahan hidup di luar angkasa. Dezik bagaimanapun mati ketika terlibat dalam misi penerbangan berikutnya.
Selepas itu, Kesatuan Soviet menghantar pula tikus belanda pertama ke orbit. Ia diterbangkan dengan pesawat Sputnik 9 Soviet pada 9 Mac 1961, bersama beberapa bahan kajian lain. Haiwan berkenaan juga berjaya kembali ke Bumi dengan selamat.
Perancis sekali lagi ingin mencipta rekod dan memutuskan untuk mengirim seekor kucing pertama ke angkasa lepas pada Oktober 1963. Kucing liar yang ditemui di jalanan itu diberi nama Felix dan diletakkan dalam sebuah roket AGI Veronique. Alangkah gembiranya saintis Perancis ini kerana misi kedua ini turut berjaya.
Sebenarnya, pelbagai haiwan lain terus digunakan untuk eksperimen ke angkasa. Tanggal 15 September 1968, Kesatuan Soviet meluncurkan kapsul Zond 5 dengan muatan biologi termasuk dua ekor kura-kura. Selepas mengorbit bulan, kapsul bersama muatannya selamat kembali ke Bumi. Kasihan sekali, kura-kura itu mengalami sedikit penurunan berat badan. Namun nasib haiwan berkenaan sangat beruntung kerana tidak mati terbakar saat kapsul angkasa meluncur ke angkasa lepas.
Sementara itu, NASA kemudiannya juga berminat mengirimkan dua ekor katak ke angkasa untuk program Orbiting Frog Otolith pada tahun 1970. Percubaan ini turut mencipta kejayaan, malah pengkaji dapat mengumpulkan data-data penting tentang neurofisologi. Sayang sekali, kapsul tersebut tidak dapat ditemui selepas mendarat semula di Bumi.
Jika sebelum ini, saintis hanya melihat pada haiwan daratan, mereka mula bertukar kepada haiwan air dengan menggunakan ikan pertama dari spesies mummichog yang dipersiapkan untuk dilepaskan ke ruang angkasa. Spesies hidupan air ini sering digunakan oleh pengkaji dalam makmal eksperimen kerana ikan tersebut dikatakan memiliki kemampuan untuk bertahan hidup pada kondisi ekstrem. Ternyata, ketika menyertai misi Skylab 3 pada tahun 1973, ia didapati masih hidup selepas mendarat di Bumi.
Ini adalah sebahagian spesies haiwan pertama yang menjadi legenda dalam penerokaan ke angkasa lepas. Keberhasilan ini menambahkan lagi ilmu pengetahuan saintis tentang ketahanan makhluk Bumi saat terbang ke angkasa.


_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram