PENYANYI, pengarah dan penyampai radio, Mawi membuat pendedahan mengejutkan apabila dia pernah berdepan dengan keadaan ‘mati’ selama 15 minit akibat sihir.
Menurut Mawi atau Asmawi Ani,41, insiden yang berlaku tujuh tahun lalu itu seakan memberi ‘nafas baru’ buat dirinya selain timbul perasaan menginsafkan kerana dia merasai sendiri pengalaman hampir tidak bernyawa lagi.
“Ketika itu saya tidak sedarkan diri seolah-olah mati selama 15 minit. Saya sedar semula apabila bahagian kepala terasa sejuk dan mendapati isteri saya, Ekin sedang membasahkan kepala saya.
“Ketika itu dia meraung dan menangis sambil mengelap darah yang berlumuran di seluruh badan saya. Kejadian ini turut disaksikan oleh kembar Ekin iaitu Ain dan bapa saudara saya yang berada di hospital ketika itu.
“Saya memang tak ingat apa yang berlaku,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Kata Mawi lagi, ketika kejadian, Ekin sedang mengelap dan mencuci darah yang keluar daripada mulutnya dengan dipenuhi darah yang membuak keluar seperti ‘lava’ gunung berapi.
“Disebabkan kejadian itu, saya hampir membuat keputusan untuk berhenti daripada dunia hiburan. Rasa fobia juga selepas apa yang terjadi. Ekin pun minta saya berhenti menyanyi dan keluar dari industri hiburan.
“Saya berfikir juga tapi saya suka menyanyi, berlakon, buat filem dan sebagainya. Allah sudah letak saya di sini, jadi saya buat yang terbaik saja dan tawakal.
“Selepas kejadian itu saya suka menulis skrip dan mengarah. Saya lebih jadi seorang pemikir. Ketika itu juga datang tawaran mengarah. Sejak itu saya lebih ghairah dalam dunia pengarahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia Musim ketiga itu memberitahu kejadian itu berlaku sewaktu usianya mencecah 34 tahun dan akui terpaksa mengasingkan diri daripada dunia hiburan buat sementara waktu.
Walau bagaimanapun, pengarah yang berasal dari Kulai, Johor itu tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dan dia turut akui perlu muhasabah diri.
“Saya tetap menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati terhadap sihir dan juga perkara ghaib. Kita tak tahu dan saya pun tidak pernah menuduh. Jujurnya, saya bersyukur Allah beri saya rasa semua itu dan saya akui semua itu menginsafkan saya.
“Sihir ini wujud, jadi kita sentiasa beringat. Selain solat sunat dan membaca Al-Quran, amalkan zikir seperti Asmaul Husna, Allah ada 99 nama, satu hari kita sebut satu nama berulang-ulang pun sudah memadai,” katanya.
Bagaimanapun, penyampai radio Zayan itu berkata, peristiwa yang berlaku terhadap penceramah popular, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang disihir hendaklah dipercayai kerana dia juga pernah lalui.
Sementara itu, Mawi telah melancarkan filem terbaru arahannya, Zim Zim Ala Kazim yang diinspirasikan oleh Ustaz Kazim mendapat reaksi yang baik oleh bakal pengedar.
“Mulanya nak ditayangkan di Astro First tapi mereka yang dah tonton puji dan kata patut ditayangkan di pawagam. Jadi saya kena buat beberapa perubahan bagi membolehkan ia ditayangkan di pawagam nanti,” katanya.