Enrique Maccartney Harold menyumbang pingat emas dalam acara 10m platform lelaki. GAMBAR: Persekutuan Renang Malaysia

PENCAPAIAN kontinjen kebangsaan selepas berakhir hari keenam temasya Sukan SEA 2023 mengecewakan selepas hanya meraih tiga pingat emas semalam.

Pungutan tiga pingat emas itu agak membimbangkan apabila kontinjen negara kekal berada di kedudukan ketujuh dengan berbaki enam hari lagi sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai pada 17 Mei ini.

Semalam, kem negara mencatat prestasi membanggakan apabila merangkul enam pingat emas, yang merupakan pencapaian pungutan pingat emas terbaik seharian.

Selepas tamat saingan semalam, Malaysia meraih keseluruhan 24 pingat emas, 31 perak dan 49 gangsa.

Pada aksi hari keenam ini, kem terjun menepati ramalan apabila menyumbangkan pingat emas pertama negara menerusi Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform lelaki, sekali gus menyaksikan Malaysia menyapu bersih kesemua empat pingat emas ditawarkan dalam acara itu pada temasya sukan di Kemboja ini.

Baca artikel berkaitan: Sukan SEA Kemboja: Hannah puas hati prestasi atlet muda

Dua lagi pingat emas menerusi skuad olahraga apabila jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin berjaya mempertahankan emas di peringkat temasya rantau Asia Tenggara ini, selain atlet lompat kijang Andre Anura Anuar yang mengekalkan statusnya selaku juara bertahan pada temasya kali ini.

Beberapa acara yang diharapkan dapat menghadiahkan pingat emas, bagaimanapun gagal dicapai antaranya ping pong dan badminton.

Skuad ping pong wanita yang membuat kejutan mara ke pentas final selepas 30 tahun, gagal melakar sejarah meraih pingat emas pertama dalam acara berpasukan pada temasya dwitahunan itu apabila tumpas kepada Thailand 0-3 pada perlawanan akhir.

Kem badminton turut menerima nasib yang sama apabila tewas 1-3 kepada musuh tradisi, Indonesia dalam final berpasukan lelaki.

Selepas berakhir saingan semalam, kedudukan tiga teratas dalam carta pungutan pingat kekal dengan Vietnam mendahului setelah meraih 57 pingat emas, 56 perak dan 70 gangsa, diikuti tuan rumah Kemboja 56-44-55 manakala Thailand di tempat ketiga dengan kutipan 54-39-58.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram