Dalam sirah Rasulullah s.a.w. Baginda banyak kali keluar dari tempat tinggalnya bagi melaksanakan urusan negara dan urusan agama Islam. Oleh itu antara amalan yang sering dilakukan Baginda s.a.w. sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Umar r.a. dengan katanya
“Apabila Rasulullah s.a.w telah berada di atas kenderaan hendak melakukan suatu perjalanan, lebih dahulu Baginda bertakbir tiga kali. Kemudian membaca doa sebagaimana berikut:
“Subhaanal ladzi sakhkhara lana hadza wa ma kunna lahu muqrinina, wa inna ila rabbina lamunqalibun, wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas-aluka fi safarina hadzal birra wat taqwa wa minal amali ma tardha.
Allahumma hawwin alina safarana hadza wathwi’anna bu’dahu. Allahumma antas sohibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allahumma inni a’udzubika min wa’tsa-is safari wa kaabatil manzhari wa su-il munqalabi fil mali wal ahli”
(Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini bagi kami di mana kami sesungguhnya tidak sanggup menguasainya dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Wahai Allah, kami mohon kepada Mu dalam perjalanan ini bagi kami dan dekatkanlah kejauhannya bagi kami.
Wahai Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan pengawas bagi keluarga kami. Wahai Allah, aku berlindung dengan kebesaran-Mu daripada kesulitan perjalanan daripada pandangan yang mengerikan dan daripada bencana harta dan keluarga setelah kembali).
Ketika pulang Baginda baca doa itu sekali lagi dengan tambahan:
Aayibuna, taaibuna aabiduna lirabbina hamidun (Kami kembali, kami taubat serta menyembah Tuhan dan memuji-Nya).
Dalam hadis yang lain juga disebutkan bahawa dari Abdullah bin Sarjis r.a. katanya,
“Apabila Rasulullah s.a.w melakukan suatu perjalanan, beliau berlindung kepada Allah dari kesulitan perjalanan, daripada kesedihan bila kembali, daripada kesempitan setelah berkecukupan, daripada doa orang yang teraniaya dan daripada pandangan buruk terhadap keluarga dan harta”
Perjalanan itu setengah seksaan
Sememangnya perjalanan yang jauh adalah waktu yang sukar dan menyeksakan. Apatah lagi ketika di zaman Rasulullah s.a.w. yang terpaksa menempuh padang pasir yang panas dan sejuk yang teramat di malam hari. Malah ia sangat jauh bezanya untuk dibandingkan dengan sekarang yang punya pelbagai kemudahan. Kerana itu dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Perjalanan itu merupakan setengah seksaan. Tidurmu berkurang, begitu pula makan dan minum. Kerana itu apabila urusanmu telah selesai, segeralah pulang kepada keluargamu.”
Usai bermusafir atau kembali semula ke tempat tinggalnya, lazimnya Rasulullah s.a.w. akan melakukan amalan ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah bin Umar r.a katanya,
“Apabila Rasulullah s.a.w kembali daripada peperangan besar atau pun kecil atau kembali daripada haji atau umrah atau beliau berada di puncak sebuah bukit atau tempat tinggi, Baginda takbir tiga kali sesudah itu membaca;
Laa ilaaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qadir, Aayibuuna, taaibuuna, ‘aabiduuna, saajiduuna lirabbinaa, haamiduuna, Shadaqallaahu wa’dah, wanashar ‘abdah, wa hazammal ahzaaba wahdah.”
(Tidak ada Tuhan selain Allah, Maha Esa. Dia tiada sekutu bagi-Nya. Milik Nyalah kekuasaan dan pujian dan Dia Maha Kuasa atas segala-galanya. Kami menghadap kepada Nya, taubat, menyembah dan sujud kepada Tuhan kami memuji. Maha benar janji-Nya dan memenangkan hamba Nya serta menghancurkan semua sendiri Nya).
Begitulah yang Baginda s.a.w. lakukan ketika ingin memulakan perjalanan yang panjang keluar dari tempat bermastautinnya sama ada untuk pergi berperang, melaksanakan haji atau umrah di Mekah atau juga untuk bermusafir.
Dan sesudah sampai ke destinasi atau kembali semula dari perjalanan panjang tersebut maka itulah juga amalan yang dilakukan Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang disebutkan di atas. Semoga kita juga dapat melaksanakan rutin yang diamalkan Baginda s.a.w. agar dapat mengikut sunnah Baginda dan beroleh keberkatan. Wallahu a’lam
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’