Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan tinjauan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), semalam. GAMBAR: Facebook Onn Hafiz

ORANG awam dan petugas yang mempunyai urusan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dibenar memarkir motosikal di kawasan tempat letak kenderaan Bangunan JB Sentral.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau memaklumkan, orang ramai dan petugas boleh mula memarkir motosikal di Bangunan JB Sentral itu, esok.

Onn Hafiz berkata, untuk staf serta petugas BSI, ruang parkir disediakan adalah di anjung utara aras dua, manakala untuk orang awam di anjung selatan aras sama.

“Syukur Alhamdulillah, hasil perbincangan pihak Kerajaan Negeri Johor bersama KDN, bermula esok kenderaan bermotosikal akan dibenarkan menggunakan tempat letak kenderaan di bangunan JB Sentral.

Baca artikel berkaitan: 176 KIR Kampung Melayu Majidee terima bantuan RM3,000 – Onn Hafiz

“Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif ini. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Semalam, Onn Hafiz yang melakukan tinjauan ke kompleks tersebut memaklumkan masih ada perkara yang perlu diperbaiki walaupun keadaan laluan motosikal, kereta dan bas semakin baik.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama dan bantuan Persekutuan perlu mencari kaedah penyelesaian berhubung isu kekurangan tempat letak kereta dan motos bagi kegunaan pegawai serta orang awam.

“Saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram