Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan menyanyikan lagu rasmi Bersama Demi Malaysia pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia, Ahad 14 Mei 2023. Saya jenamakan ia sebagai Konvensyen 2023. Atas kapasiti Setiausaha Agung MPM, saya menerima undangan daripada Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menghadiri konvensyen itu. 

Saya tidak dapat hadir. Sebagai ganti, MPM diwakili oleh Pengerusi Biro Politiknya, Shahbudin Embun. Saya menerima laporan konvensyen itu daripada beliau. Sebaik mungkin, beliau berikan intipati setiap pembentangan. Malah foto pun banyak dikirimnya kepada saya. 

Atas kapasiti Setiausaha Agung MPM, saya bersangka baik terhadap hasrat penganjur terutamanya UMNO, yang diberi amanah menerajui sekretariat konvensyen itu. 

Zahirnya, dalam banyak aspek ia nampak murni. Semurni mana sekalipun hasrat penganjuran konvensyen itu, pasti akan terdengar suara-suara yang tidak senada dengan hasrat itu. 

Malah, venue yang dipilih juga turut mengundang banyak perdebatan. Ada yang kata pemilihan venue itu amat nostalgik. Ada pula yang persoalkan, kenapa pilih WTC. Kenapa tidak pilih venue yang neutral?

Di venue yang sama, pada Sabtu  14 September 2019, genap 44 bulan berlalu, UMNO pernah mengadakan Himpunan Muafakat Ummah bersama PAS. Ia turut dihadiri dua sekutu politiknya dalam BN, iaitu MCA dan MIC. Selang beberapa hari, nama muafakat itu pun dijenamakan semula menjadi Muafakat Nasional, demi menjaga hati sekutunya dalam BN. 

MPM dijemput menghadiri Himpunan 2019 itu. Saya bersama beberapa kerabat MPM menghadirinya. Saya ada menulis rencana mengulas mengenai Himpunan 2019 itu. 

Sejujurnya, saya pesimistik, malah sejak awal-awal lagi saya tidak setuju usaha permuafakatan UMNO-PAS itu dicanang ke seluruh negara, berpelukan dan bertangisan sesama pemimpin. Nak muafakat buat saja lah, sama macam kawan-kawan kita si dagang buat.

Bukan kami doakan yang tidak baik tapi jauh dalam hati sanubari, dapat dirasakan ia hanyalah satu konsert politik. Selang 44 bulan selepas WTC jadi pelantar konsert politik UMNO-PAS, sekali lagi UMNO berjiwa besar, berhati murni, anjur satu lagi konsert politik. 

Pada Ahad, 14 Mei 2023, UMNO mengetuai sekretariat penganjuran Konvensyen 2023 ini. Sambil meneliti setiap mesej yang Shahbudin utuskan kepada saya, debaran denyut jantung saya amat luar biasa. 

Ya, saya terima hakikat dan hasrat murni dalam kalangan pemimpin Kerajaan Perpaduan, terutama pemimpin UMNO. Bolehlah saya katakan kami kenal hati budi ramai pemimpin utama UMNO. 

Namun, hati kecil saya berbisik untuk minta disampaikan pesan kepada mereka; Buat baik berpada-pada, abang, kakak. Kebimbangan kami ialah kerana bangsa kita ini mudah sangat beri muka kepada ‘si dagang yang lalu’. 

Baca artikel berkaitan: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bukti kerajaan stabil, kuat – Anwar

Tiga kumpulan politik utama dalam penganjuran Konvensyen 2023 ini ialah BN, PH dan GPS. BN yang dahulu amat banyak parti sekutunya, selepas PRU14, komposisinya sekadar hampir sama dengan Parti Perikatan yang asal. 

Pakatan Harapan (PH) pula asalnya gabungan Pakatan Rakyat, bertukar menjadi PH bila bersekutu dengan Bersatu, mengharungi PRU14. Jenama itu dikekalkan sekalipun Bersatu tidak lagi bersamanya.

GPS pula asalnya beberapa parti dari Sarawak dalam BN, kini memilih menjadi gagasan Sarawak yang masih setia bergandingan dengan BN. 

Pengalaman BN dalam dua konsert politik ini amat berbeza. Himpunan 2019 hanya melibatkan BN dan PAS. Ia sekadar himpunan yang mempermainkan emosi dan sentimen. 

Tidak lebih dari itu. Ketika itu, kedua-duanya adalah pembangkang, maka ada yang anggap Himpunan 2019 itu adalah muafakat di antara blok pembangkang. 

Anehnya, GPS yang keluar dari BN tetapi setia bersama BN, tidak menyertai Himpunan 2019 itu. Pengalaman BN dalam Konvensyen 2023 dilihat amat berbeza. Sekalipun ia bukan komponen yang dominan dalam Kerajaan Perpaduan, blok PH memberi laluan untuk menerajui konvensyen ini. 

Semua komponen dalam Kerajaan Perpaduan akur dengan tatacara penganjuran konvensyen ini, termasuk pemilihan WTC sebagai gelanggangnya. Pengalaman BN dalam Kerajaan PN (pimpinan Perdana Menteri Kelapan) dan Kerajaan BN dikuasai PN (pimpinan Perdana Menteri Kesembilan), amat rumit. 

Kami di MPM simpati dengan UMNO yang mengalami kerumitan politik yang amat luar biasa itu. Banyak yang UMNO dan BN pelajari daripada pengalaman itu.

Pun begitu, jangan ditolak kemungkinan BN akan bekerjasama kelak dengan PN, sebab dalam politik tiada yang mustahil. Sebaik saja PRU15 berlalu, di MPM turut diadakan sesi percambahan fikiran sesama kami melihat kepada tiga kemungkinan gabungan politik bagi membentuk kerajaan. 

BN sejak awal-awal lagi memilih untuk berperanan sebagai pembangkang, kerana insaf dengan kekalahan yang amat memalukan. Malah BN reda jika PH dan PN kembali bertaut, membentuk kerajaan PH-PN. Mereka yang enggan. 

PN enggan mempelawa BN untuk membentuk gabungan bersamanya, sekalipun GPS memainkan peranan cuba menautkan kembali kedua-duanya. Ada hikmahnya. BN pun dah serik bersekutu dengan PN di bawah dua kepimpinan berbeza sebelum ini. 

Andai kata BN dipelawa dan mereka menerima pelawaan itu, sampai kiamat pun BN tidak akan mampu berkembang kembali, kerana PN akan memastikan semua kerusi yang dimenanginya tidak akan kembali ke tangan BN. Mahu atau tidak, BN terpaksa merempuh kubu kuat PH. Kemungkinannya kita semua pun tahu. 

Berbeza dengan PN, PH beria-ia mendekati BN. Bila GPS juga akur dengan kehendak sebahagian dari sekutunya untuk tidak bersekutu dengan PN yang ada PAS, keadaan itu turut mencuit keinginan UMNO (terutamanya) menerima pelawaan PH. 

Pada hemat BN pula, jika memilih untuk bersekutu dengan PH, sasarannya dalam PRU akan datang ialah untuk merampas kembali kerusi yang kini dimiliki PN. Secara logiknya, sasaran itu lebih realistik untuk dicapai. Hampir sama seperti BN, PH juga ada banyak pengalaman bersekutu dengan PAS dan Bersatu yang kini membentuk blok PN. 

Penyatuan tiga kelompok tegar dalam PH amat kukuh. Hakikat ini, buat masa ini, tidak ragui. Hanya, mereka (sebagai PH) belum ada pengalaman bersekutu dengan BN dan GPS. Kini, buat julung-julung kalinya terbentuklah pakatan strategik baharu bersama BN dan GPS, yang kemudiannya diperkukuhkan oleh tiga sekutu dari Sabah. 

Keraguan kami terhadap kemungkinan persekutuan politik BN-PH (dan kini mlibatkan GPS) telah disuarakan semasa delegasi MPM mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO seawal Januari 2021. 

Presiden UMNO telah membayangkan akan kemungkinan itu. Kami di MPM tidak menghalang. Kami sekadar mengingatkan mereka akan ketegaran PH, terutamanya DAP, akan matlamat utama parti itu. Soalan yang kami ajukan ialah sejauh mana DAP rela berkompromi, terutama dengan empat matlamat utamanya

Hakikatnya, masa berubah pantas. Percaturan politik juga berubah pantas, bukan kerana pengaruh pemikiran alam ikalangan pengundi 18. Bukan. Percaturan politik semasa dipengaruhi kuat oleh faktor geopolitik dan geokemakmuran. 

Hari ini institusi politik tidak boleh lagi dianalisis secara berasingan daripada lain-lain kuasa atau tunggak kemakmuran. Pengalaman berdepan krisis kepimpinan sepanjang tempoh PRU14 sudah cukup membosankan rakyat. 

Saban hari rakyat dapat lihat dengan mata kasar mereka betapa pantasnya pembangunan di beberapa negara jiran, tatkala kita bergelut dengan kemelut politik, yang diparahkan lagi oleh beberapa krisis, terrutama gejala rasuah, kegawatan ekonomi dan wabak pandemik Covid-19. 

Hatta, bila diteliti satu per satu mesej yang Shahbudin utuskan sebagai ‘takeaways’ dari Konvensyen 2023 itu, saya ajak kita semua, terutama pemegang taruh bangsa, untuk berlapang dada, menerima apa yang baik yang para pemimpin Kerajaan Perpaduan kongsikan dengan kita di konvensyen itu. 

Mereka telah berwaad. Konvensyen 2023 telah jadi pentas bagi mereka menyatakan kesediaan untuk sepakat, demi rakyat selaku pemegang taruh. 

Namun, itu tidak bermakna kita terikat untuk menerima bulat-bulat apa yang mereka deklarasikan. Jangan. Kita ada tugas selepas ini. Tugas kita ialah memantau sejauh mana muafakat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, seperti yang dilaung-laungkan, di Konvensyen 2023 itu, benar-benar direalitikan. 

Untuk itu, kita semua, terutama kami di MPM, wajib ada keberanian untuk bersuara, secara berkala, secara terbuka, tanpa prasangka, tanpa prejudis. 

Apa pun:

  • Usahlah mudah alpa, buat baik biarlah berpada-pada.
  • Usahlah mudah sangat berlembut hati, mendahulukan dagang yang lalu. 
  • Usahlah diabai anak di buaian yang sering kehausan.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram