
JABATAN Imigresen Melaka menahan sebanyak 20 warga asing termasuk 13 daripadanya merupakan pekerja sebuah hotel terkemuka di bandar raya Melaka, semalam.
Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan dalam beberapa serbuan Operasi Sapu (Op Sapu) berasingan bermula sekitar pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 11 malam.
Menurut Pengarah Imigresen negeri Anirwan Fauzee Mohd Aini, dalam operasi disertai tiga pegawai bersama 20 anggota, seramai 70 orang warga asing diperiksa dan hasilnya 20 orang PATI ditahan terdiri daripada warga Indonesia (17), Myanmar (2) dan Bangladesh (1).
“Antara lokasi yang menjadi sasaran adalah hotel, medan selera, pusat mencuci kenderaan mewah dan penempatan pekerja asing,” kata kenyataan itu.
Anirwan berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pihak Imigresen membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas sebuah hotel terkemuka yang disyaki menggaji PATI dan sebanyak 41 pekerja asing diperiksa.
Katanya, semasa serbuan, ada PATI yang cuba menyembunyikan diri dan juga menyamar sebagai pekerja tempatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut seramai 13 orang warga asing berjaya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan juga
melanggar syarat pas atau permit kerja yang telah dikeluarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, terdapat juga warga asing yang bertindak agresif dalam cubaan melarikan diri ketika anggota Imigresen melakukan serbuan di lokasi-lokasi sasaran lain tanpa memikir keselamatan diri.
Katanya, antara kesalahan lain yang dikenal pasti dalam serbuan tersebut adalah masuk dan tinggal di Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Sebanyak sembilan borang Saman kepada Saksi turut dikeluarkan kepada majikan yang bertanggungjawab untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya,” tambahnya.