Tertuduh, Sharil Mohd Sarif, 40 yang sebelum ini pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan sama.

SEORANG lelaki yang pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali masing-masing atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan sama menerusi media sosial pada Mac lalu.

Pertuduhan atas kesalahan kali keempat pada kali ini adalah kerana didakwa memulakan hantaran jelik terhadap Permaisuri Agong, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi media sosial, Mac lalu.

Tertuduh, Sharil Muhd Sarif, 40 mengaku bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan, pagi ini.

Mengikut dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan
memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi satu akaun di aplikasi Twitter.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 12 Mac lalu sekitar jam 5.28 pagi dan 5.30 pagi manakala hantaran itu dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada 13 Mac lalu sekitar jam 8.22 malam.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh dalam rayuannya selepas pengakuannya itu, memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai masalah mental.

“Saya mempunyai masalah mental. Saya pernah melakukan ujian saringan mental di Hospital Sungai Petani sambil ditemani oleh kakak saya. Ini merupakan kesalahan saya kali keempat,” kata tertuduh itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memberitahu Priscilla bahawa berdasarkan kertas siasatan, pengakuan tertuduh adalah bersyarat dalam kapasiti mentalnya yang tidak stabil.

Susulan itu, hakim Priscilla memerintahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut Seksyen 342 (2) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan laporan pemeriksaan mental.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh pernah dipenjara sebanyak tiga kali atas pertuduhan menghina Yang di- Pertuan Agong.

Pada 26 April 2019, Sharil dipenjara dua bulan oleh mahkamah sama, atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil nama Sharil Chain.

Pada 6 Julai 2020 pula, dia dipenjara 10 bulan atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong, dan Raja Permaisuri Agong.

Terbaharu, tertuduh sekali lagi dihukum penjara setahun dan denda RM20,000 juga atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, pada 24 September 2022.