BAKAL mengadakan konsert sulung di Malaysia tidak lama lagi, penyanyi terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng atau Jeandmesh Antonio Kamaleng mendedahkan pernah bercinta namun putus di tengah jalan.
Ujar Andmesh, beberapa karya yang diciptakan merupakan luahan kisah benar antara dia dan bekas buah hatinya yang berpisah disebabkan faktor perbezaan agama.
Tambahnya, dia sering berterima kasih kepada bekas kekasihnya yang pernah berada dalam hatinya kerana perkara itu membuatkan dirinya menjadi lebih positif dan anggap mereka sebagai keluarga.
“Saya mengaku saya pernah putus cinta beberapa kali dan sebenarnya lagu yang saya pernah ciptakan adalah dari kisah realiti yang jadi antara saya dan bekas kekasih.
“Dulu saya pernah bercinta dengan seseorang dan kami berpisah kerana bapanya tidak ingin jodoh anaknya berlainan agama. Jadi saya tak ingin berdebat tentang itu, saya luahkan melalui pembikinan lagu berjudul Kumau Dia.
“Setiap kali saya putus cinta, saya akan berterima kasih kepada orang yang pernah singgah di hati saya kerana dari situ saya diajar menjadi orang yang lebih baik. Saya anggap mereka sebagai keluarga,” katanya kepada URTV.
Hasrat tercapai datang Malaysia
Ditanya juga tentang pengalaman pertama kali hadir ke Malaysia, dia berkata, ini merupakan salah satu impiannya untuk melawat Kuala Lumpur dan telah tercapai melalui konsert yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Tambah penyanyi berusia 26 tahun itu, dia akui mengambil masa yang agak lama untuk mengadakan konsert di Malaysia kerana perlu mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental.
“Sebenarnya dari kecil lagi saya memang teringin nak ke Malaysia terutamanya Kuala Lumpur. Hasrat saya dah tercapai untuk ke sini. Saya dah cuba makan nasi lemak dan dah pergi ke KLCC.
“Saya memang ambil masa yang lama datang ke Malaysia sebab nak siapkan karya itu dengan matang dan dengan penuh cerita. Saya sendiri kalau nak nyanyi di konsert tidak hanya bawa dua ke hingga tiga buah lagu, saya akan bawa banyak lagu.
“Saya lebih suka nak kongsi kesan kepada penonton melalui konsert tersebut. Setiap perjalanan saya memang berat, saya suka untuk kongsi dan beri inspirasi buat semua,” jelasnya ketika ditemui di sidang media khas Andmesh Kamaleng Live di Kuala Lumpur yang berlangsung di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.
Bawa konsep cinta dalam konsert
Penyanyi lagu Hanya Rindu itu menampilkan tema cinta yang dibawakan ke konsert bukan dengan sekadar kata-kata tetapi secara naturalisasi dan berbakti kehidupan kepada keluarga.
Tambahnya, dia akan membuat kejutan untuk para penonton di konsert dengan menyanyikan lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh artis lain buat pertama kalinya.
Penyanyi lagu Andaikan Kau Datang itu mempunyai strategi sendiri untuk menggunakan kreativiti yang ada untuk konsert tersebut.
“Konsep cinta ini saya tampilkan bukan sekadar kata-kata, bukan cinta yang saya dapat dari seseorang tetapi saya melakukan apa-apa dan sampai detik nafas ini hanya untuk keluarga saya,” luahnya.
Konsert Andmesh Kamaleng akan diadakan pada 4 Jun 2023 di Plenary Hall, KLCC.