SOCC Holdings Sdn Bhd, salah satu kumpulan korporat terbesar milik Bumiputera dari Sarawak menganjurkan majlis terbuka sambutan Aidilfitri dan Gawai dengan majlis bertemakan festival Sarawak.

Menurut Pegawai Eksekutif SOCC Holdings, Amin Aznizan, majlis seumpama ini dianjurkan buat pertama kali dengan persiapan didatangkan khas dari Sarawak.

“Buat pertama kalinya kesemua syarikat bergabung dan semua kepakaran dan persiapan didatangkan khas dari Sarawak. Ianya disediakan oleh rangkaian kumpulan kami di majlis yang berkonsepkan festival dari bumi Kenyalang agar kita semua dapat berkongsi budaya masyarakat etnik Sarawak yang unik daripada segi makanan dan kebudayaan.

“Majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama rangkaian kumpulan, namun ia untuk meraikan rakan niaga korporat dan pelanggan yang banyak memberi sokongan kepada kami. Saya percaya ia peluang yang baik untuk mengeratkan hubungan dan berkongsi semangat kebersamaan sambil meraikan dua acara kebudayaan yang penting di negara kita,” katanya ketika ditemui.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan bergendang dan bermukun iaitu dram tradisional Sarawak lengkap dengan violin sertai pantun dan joget serta tarian Ngajat.

Dalam majlis yang sama, SOCC Holdings melalui anak syarikatnya iaitu TCS College turut memberi biasiswa percuma kepada bakal pelajar bidang ‘Foundation in Business’ dan ‘Helicopter Underwater Escape Training’ oleh SMTC Global.