Bagi kebanyakan orang Rusia, air birch atau ada menyebutnya sebagai getah pokok birch merupakan salah satu jenis jus yang terbaik untuk diminum. Ia satu-satunya minuman Rusia yang sangat dihormati. Manakala, pokoknya pula dianggap paling suci berbanding pohon-pohon lain.

Rata-rata penduduk Rusia sudah meminumnya sejak kecil. Amalan menghirup cairan pokok ini telah menjadi budaya masyarakat di negara itu dan sehingga kini ia masih dianggap sebagai minuman tradisional paling popular.

Satu ketika dahulu, terdapat larangan mengambil jus birch untuk kegunaan biasa. Adapun yang dibolehkan hanya untuk disimpan bagi kegunaan ritual sahaja. Tetapi, selepas tersebarnya agama Kristian di wilayah itu, larangan berkenaan dihapuskan secara beransur-ansur. Sejak itu, orang mulai mengumpul nektar birch untuk keperluan sehari-hari.

Pokok birch yang menjadi dianggap pohon suci oleh orang Rusia.
Sejak kecil mereka telah diajar untuk minum air pokok ini.

Pokok birch biasanya ditanam berhampiran rumah. Masyarakat pedalaman rata-rata akan menanam pohon berkenaan mengelilingi kawasan kampung. Ini kerana, mereka percaya bahawa ‘semangat’ birch boleh melindungi dan menjaga penduduk kampung daripada wabak taun dan penyakit lain.

Selain itu, ada juga yang menanamnya berhampiran pintu gerbang. Bersebelahan dengan pintu pula dibina sebuah pondok kecil bagi membolehkan penduduk bercakap dengan pokok dan meminta untuk memberi mereka kekuatan.

Hanya selepas salji mulai mencair, mereka akan mulai mengekstrak jus dari pokok birch dan meminumnya. Ada sebahagian daripada mereka akan pergi ke hutan dan kemudian mengumpulnya untuk dibawa balik. Namun, ia tidak dilakukan setiap hari.

Difahamkan, satu-satunya masa yang dibolehkan untuk mendapatkan cecair itu adalah sekitar 20 hari sahaja, mulai daripada pertengahan Mac hingga awal bulan April. Ini kerana, pada tempoh tersebut, pokok telah dipenuhi dengan jus. Semasa musim sejuk pula, aktiviti itu dikurangkan kepada 10 hingga 12 hari sahaja.

Cara menuai jus juga sangat unik. Mula-mula, mereka akan melubangkan batang pokok birch sedalam kira-kira dua sentimeter, kemudian dipasangkan tiub plastik lalu ditadah menggunakan bekas seperti botol atau plastik. Biasanya, satu pohon birch mampu menghasilkan antara dua hingga tiga liter jus sehari.

Penduduk Rusia telah memanfaatkan secara meluas air dari pokok khususnya birch, pohon kayu berdaun nipis dari genus Betula. Mereka menggunakan jus itu sebagai ramuan dalam makanan dan minuman. Paling popular, ia dijadikan tonik iaitu ubat herba tradisional yang berfungsi sebagai antiseptik, antiparasit, antiradang dan anti gatal.

Mengumpulkan air dari pokok ini.
Penduduk pedalaman biasa menanam pokok ini berdekatan rumah mereka

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram