GAMBAR HIASAN

SEDIA bekerja secara ‘terpaksa’ kerana tidak mendapat gaji seperti diharap, atau lebih rela menganggur selagi tidak mendapat tawaran kerja dengan gaji berkenan di hati?

Inilah dilema yang dikatakan meletakkan siswazah universiti awam dan swasta di persimpangan pilihan. Mana lebih baik bekerja dahulu sementara menunggu peluang memperoleh tawaran kerja dengan gaji lebih baik atau terus berdegil tidak mahu bekerja?

Masalahnya, berapa lama harus menunggu tawaran kerja bergaji besar jatuh ke riba yang entah bila. Sebulan? Setahun? Jika tiada rezeki kadang kala sehingga bertahun-tahun yang ditunggu tidak tiba. Peluang yang ada pula dilepaskan, yang diharap tinggal harapan.

Setiap tahun ribuan graduan keluar universiti dan memasuki pasaran kerja. Ini belum termasuk graduan tahun-tahun sebelumnya yang masih belum bekerja. Ertinya jumlah pencari pekerja terus bertambah sedangkan penawaran kerja tidak dapat menampung semua keperluan.

Justeru dalam keadaan begini, haruskah terlalu memilih kerja dan hanya menerima jawatan bergaji tinggi? Bukankah sekurang-kurangnya jika bekerja akan membolehkan seseorang menimba pengalaman yang menjadi aset penting jika mencari kerja lebih baik?

Sedarkah ketika ini ramai lulusan universiti sedia bekerja dengan mengguna pakai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walau pun mempunyai ijazah atau diploma. Mereka rela ‘merendahkan’ nilai kelulusan asalkan mendapat kerja walau gaji rendah.

Kelompok ini sebenarnya bersikap lebih realistik dalam menghadapi cabaran hidup. Mereka menerima hakikat bahawa dalam keadaan persaingan mencari kerja semakin sengit hari demi hari, apa juga peluang yang ada perlu diambil dahulu.

Mereka bersedia membina kerja dari bawah kerana yakin rajin dan usaha tangga kejayaan. Lama kelamaan dengan pengalaman yang diraih, tangga kerjaya makin tinggi didaki. Pada waktu itu juga peluang kerja lain terbuka, sejajar dengan pengalaman dan kelulusan.

BERITA BERKAITAN KPT beri tumpuan pergiat program tingkat kebolehpasaran graduan – Mohamed Khaled

Sayangnya ramai lulusan universiti meletakkan harapan terlalu tinggi. Ada ijazah mesti memperoleh kerja yang bagus dan mengharap gaji yang tinggi. Ini diakui sendiri oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (Malaysian Employees Federation (MEF)).

Memetik presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, lulusan baharu universiti, atau fresh graduates yang belum pun ada pengalaman berkerja, mengharapkan gaji tinggi yang sukar dipenuhi oleh majikan. Ini kerana majikan menawarkan gaji berdasar bajet yang ada, bukan menurut kehendak pemohon kerja.

Kerana itu, kata Syed Hussain, lulusan universitilah yang mesti bersedia membuat penyesuaian antara gaji permulaan yang diharapkan dengan realiti pasaran. Jika harapan gaji terlalu tinggi, majikan mungkin tidak mampu memberi apa yang diminta. Akhirnya sendiri yang tidak mendapat kerja.

Secara purata, gaji permulaan bagi seorang siswazah kepujian (Honours) ialah RM2,700 sebulan. Selain itu mungkin ada faedah-faedah sampingan lain ditawarkan seperti perubatan, pinjaman membeli kenderaan dan rumah serta bonus. Semua bergantung kepada majikan.

Sebenarnya peluang kerja, sekali pun sengit, belum sampai ke tahap terlalu kritikal atau tiada harapan. Cuma isunya ialah terlalu memilih atau tidak.

Menurut portal perkhidmatan pekerjaan kebangsaan, MYFutureJobs, terdapat 729,314 kekosongan kerja antara 1 Januari hingga 14 April 2023. Jumlah ini boleh dianggap tinggi.

Sebanyak 60 peratus daripada kekosongan ini menawarkan gaji antara RM1,500 hingga RM1,999 sebulan. Sebanyak 11.4 peratus pula menawarkan gaji di bawah RM1,500 sementara 15 peratus menawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM2,999.
Hanya sejumlah kecil sahaja iaitu 4.8 peratus menawarkan gaji agak tinggi, antara RM3,000 hingga RM3,999 sebulan.

Daripada segi kelayakan akademik pula, 76.4 peratus dengan kelulusan SPM atau lebih rendah, sebanyak 23.5 peratus pemegang diploma dan 10.3 peratus pemegang ijazah. Kebanyakan mereka yang mencari kerja pula 37 peratus berumur antara 20 hingga 25 tahun.

Disebabkan lebih banyak jawatan adalah bagi kategori kelulusan SPM itulah yang menyebabkan ramai siswazah memohon kerja dalam kategori tersebut, bersaing pula dengan mereka yang benar-benar hanya berkelulusan SPM.

Tidak mengapalah berjagung dahulu sementara menunggu padi masak. Gunakan itu sebagai peluang untuk belajar dan sedialah memahami selok belok pekerjaan agar dapat menimba pengalaman diperlukan.

Perlu diingat, selain gaji, majikan sering mengambil kira faktor pengalaman sebagai salah satu kriteria utama mengambil pekerja. Graduan baharu memang tidak ada pengalaman ini. Jika ada pun mungkin pengalaman latihan industri sewaktu dalam pengajian. Itu tidak mencukupi.

Isu yang selalu timbul ialah jika majikan tidak mengambil siswazah baharu bekerja bagi menimba pengalaman, bagaimana mereka hendak mendapat pengalaman diperlukan? Akibatnya sampai bila pun akan sukar ditawar kerja.

Kerana itu seelok-eloknya siswazah timbalah pengalaman dari bawah walau pun bekerja menggunakan SPM. Tidak hilang bisa ular menyusur akar. Pengalaman itu akan banyak membantu mencorakkan hidup pada masa depan.

Siswazah mesti menyedari situasi masa kini di mana ada kala sehingga bertahun-tahun baharu dapat kerja. Ini bukan era 60-an atau awal 70-an di mana kerja sudah menanti walau pun masih belum habis pengajian di kampus. Perubahan masa dan suasana menuntut perubahan minda.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram