Pada penghujung tahun 2011, seorang ahli astronomi Eropah, Lorenzo Monaco telah menemui satu bintang aneh yang terletak di dalam rasi Leo di galaksi Bimasakti. Bintang tersebut dikatakan mempunyai komposisi yang sangat ringan sehingga dianggap sebagai bintang yang tidak sepatutnya dilahirkan di cakerawala ini.
Jika dilihat kepada model pembentukan bintang semasa, sesuatu bintang itu dikatakan terbentuk daripada materi-materi kecil atom yang terdiri daripada unsur hidrogen, helium, karbon dan oksigen serta elemen berat. Namun, penemuan bintang yang diberi nama SDSSJ102915+172927 itu berbeza sama sekali kerana ia didapati mempunyai elemen berat yang sangat sedikit berbanding bintang-bintang lain. Elemen berat yang dimaksudkan di sini ialah unsur yang lebih berat daripada helium – juga disebut sebagai elemen logam.

Berdasarkan kepada penelitian yang dilakukan oleh pakar astronomi dari Jerman, Elisabetta Caffau, beliau mendapati bintang kecil yang juga digelar sebagai Caffau’s Star tersebut mempunyai ketumpatan 0.8 kali lebih kecil daripada matahari. Malah, melalui pencerapan yang menggunakan teknologi X-Shooter dan instrumental teleskop berskala besar VLT (Very Large Telescope), Caffau hanya berjaya mengesan satu sahaja sumber elemen logam yang wujud di bintang berkenaan iaitu litium. Apa yang mengejutkan ialah jumlah logamnya sangat sedikit, iaitu dengan nisbah yang dianggarkan 20,000 kali lebih sedikit daripada logam yang terdapat di matahari.
Pada paras ketumpatan yang rendah dan kadar elemen berat yang sangat sedikit ini, Caffau mendakwa bintang tersebut tidak sepatutnya wujud di alam semesta. Dengan kata lain, kewujudannya dilihat seolah-olah telah melanggar hukum fizik semula jadi alam yang menjadi pegangan saintis selama ini.
Ini kerana, pada fasa awal kelahiran sesuatu bintang, elemen berat atau unsur logam akan bertindak sebagai agen pendingin untuk membiaskan haba dari awan gas. Tanpa elemen berat, tekanan yang disebabkan oleh haba akan menjadi terlalu tinggi dan graviti awan gas tidak mampu untuk mengatasi tekanan tersebut. Akibatnya, awan gas berkenaan tidak mampu terkumpul untuk membentuk bebola jisim gas, yakni bintang.

Penemuan bintang ini juga telah membuka satu lembaran baru dalam bidang astronomi. Caffau turut menyatakan SDSSJ102915+172927 adalah penemuan pertama sesuatu objek di langit yang dilahirkan secara tidak konsisten dan menggelar ia sebagai ‘bintang larangan’.
Bintang SDSSJ102915+172927 tergolong dalam objek angkasa yang sangat primitif kerana kadar elemen beratnya terlalu sedikit. Ia adalah bintang tertua yang pernah ditemui setakat ini. Usianya dianggarkan sekitar 13 bilion tahun, iaitu hampir sama dengan usia alam semesta.
Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah kandungan litium pada bintang ini tidak sama seperti komposisi alam semesta ketika letusan supernova berlaku. Ini kerana, jumlah litium yang menjadi teras pembentukan bintang berkenaan didapati 50 kali lebih kecil daripada nisbah yang sepatutnya.
Masih banyak yang menjadi misteri tentang bintang ini. Sehingga kini, saintis masih belum dapat menghuraikan bagaimana kandungan litium yang terbentuk sejurus selepas dentuman besar boleh berkurangan di dalam bintang berkenaan. Pada tahun 2018, bintang ini dikategorikan sebagai bintang kerdil (dwarf star).
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram