PELAKON legenda Wahid Satay,93, meninggal dunia di kediamannya yang terletak di Eunos Crescent, Singapura pada pukul 8.30 pagi hari ini.

Khabar duka itu dikongsikan oleh cucunya, Mahirah Mohd Yasin selepas Allahyarham ditemui tidak bergerak di atas katil.

Arwah yang menghidap penyakit kencing manis dan jantung itu pernah dirawat di hospital pada bulan lalu akibat jangkitan di jari kaki selain mengalami serangan jantung ringan.

“Selepas Allahyarham balik dari hospital, dia kelihatan okay saja dan bahkan bersemangat untuk beraya dengan anak dan cucunya,” katanya memetik laporan Mediacorp.

Difahamkan, jenazah akan disolatkan di Masjid Pusara Aman selepas Zohor.

Karier seni Wahid bermula di studio Cathya Keris di Singapura sebagai tukang cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem Pertaruhan sekitar 1940-an.

Selain terkenal sebagai pelakon, Wahid juga dikenali sebagai pelawak dan sudah membintangi beberapa barisan filem antaranya Sumpah Pontianak, Pontianak, Che Mamat Parang Tumpul, Badang, Tuan Besar dan banyak lagi.

Arwah menerima gelarang ‘Wahid Satay’ menerusi filem Pontianak yang memegang watak sebagai penjual sate.