Satu hari Sulaiman b. Abdul Malik seorang khalifah telah datang ke Madinah dan menetap selama tiga hari. Dia tertanya-tanya,
“Apakah di sini ada seseorang yang tahu di mana sahabat Rasulullah, agar aku dapat berbicara dan menggali ilmu darinya.” Ada seseorang menjawab,
“Di sini hanya tinggal seorang sahaja. Dia bernama Abu Hazim”
Lalu Sulaiman mengunjungi Abu Hazim di kediamannya. Setelah bertemu, Sulaiman pun bertanya kepada Abu Hazim,
“Wahai Abu Hazim mengapa perangaimu begini kasar?”
“Perangai bagaimana yang engkau maksudkan?” Abu Hazim bertanya kehairanan.
Sulaiman menjawab,
“Semua penduduk Madinah mendatangiku, tapi kamu sendiri tidak mahu mendatangiku.”
“Itu disebabkan aku dan engkau tidak saling mengenali, maka bagaimana mungkin aku mendatangimu,” jawab Abu Hazim.
“Benar,” kata Sulaiman dan bertanya lagi,
“Apa sebabnya kami takut kepada kematian?”
Abu Hazim menjawab,
“Ini kerana kamu memakmurkan dunia kamu dan meruntuhkan akhirat kamu sehingga kamu enggan berpindah daripada kemakmuran kepada kehancuran”
“Engkau benar wahai Abu Hazim,” Tanya Sulaiman lagi,
“Lalu bagaimana cara menghadap kepada Allah S.W.T.?”
Abu Hazim menjawab,
“Orang yang suka berbuat kebaikan bagaikan orang yang bepergian jauh lalu datang kepada keluarganya dalam keadaan gembira dan ceria. Sedangkan orang yang suka berbuat keburukan seperti hamba yang melarikan diri lalu datang kepada tuannya dalam keadaan gementar, ketakutan, dan murung.”
“Apa pula yang menjadi bahagian kami di sisi Allah wahai Abu Hazim?” Tanya Sulaiman.
“Bacalah kitab Allah S.W.T. dengan begitu engkau akan tahu apa yang menjadi bahagianmu di sisi Allah.” Jawab Abu Hazim.
“Wahai Abu Hazim, di bahagian yang mana aku dapat memperolehi makrifah seperti itu dalam Kitab Allah?” Tanya Sulaiman ingin tahu.
“Di dalam firman Allah yang bermaksud, “sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada di dalam syurga yang penuh kenikmatan dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka.” (Al-Infithar: 13 & 14) Abu Hazim menjawab.
“Wahai Abu Hazim, di manakah pula rahmat Allah itu berada?”
Abu Hazim lalu menjawab dengan membacakan surah al-A’raf ayat 56,
“Dekat dengan orang-orang yang berbuat kebaikan”
Bertanya lagi Sulaiman,
“Wahai Abu Hazim siapakah orang yang paling berakal?”
“Iaitu orang yang mempelajari al-Hikmah dan mengajarkannya kepada manusia” jawab Abu Hazim.
“Lalu siapakah orang yang paling bodoh?” bertanya Sulaiman.
“Iaitu orang yang melibatkan dirinya dalam nafsu orang lain. Dia berbuat zalim lalu dia menjual akhiratnya dengan imbalan dunia orang lain.” Getus Abu Hazim.
Bertanya lagi Sulaiman, “Bagaimanakah doa yang paling dikabulkan?”
“Doa orang-orang tawadhuk dan khusyuk” jawab Abu Hazim.
Dan soalan terakhir Sulaiman, “Apakah sedekah yang paling suci?”
“Sedekah dari hasil usaha orang yang sedikit, itulah yang paling suci.”
Setelah puas dengan jawapan dari Abu Hazim, Sulaiman bersama dengan para pengawalnya pun mohon untuk berangkat. Begitulah kata-kata nasihat dari Abu Hazim seorang sahabat Baginda kepada khalifah. Wallahu a’lam
____________________________________________
- Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’