Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup pada Rundingan Meja Bulat Majlis Penasihat Generasi Angkasa Lepas (SGAC) Asia Pasifik (APAC), hari ini. GAMBAR: Agensi Angkasa Malaysia

PENGLIBATAN golongan belia dalam industri angkasa lepas disifatkan sebagai pelaburan masa depan dan bukti cita-cita rakyat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, negara boleh melonjak ke tahap lebih tinggi dalam penerokaan angkasa lepas dengan memupuk semangat, bakat dan kepintaran belia.

Beliau berkata, penglibatan belia dalam industri angkasa lepas juga memegang kunci untuk membuka kemajuan saintifik dan teknologi.

Pada masa sama, katanya, ia juga boleh memupuk inovasi dan semangat keusahawanan dalam diri belia.

“Belia mempunyai kecenderungan semula jadi ke arah kreativiti dan penyelesaian masalah.

“Dengan menggalakkan mereka berfikir secara kritis dan membangunkan penyelesaian kepada cabaran berkaitan angkasa, kita mewujudkan budaya inovasi yang boleh membawa kepada pembangunan teknologi dan aplikasi baharu.

“Ini boleh membuka pintu keusahawanan dan penciptaan syarikat permulaan berkaitan angkasa; memacu pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Malaysia,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Penganjuran berjaya, MOSTI cadang teruskan Space Tech Nexus

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Rundingan Meja Bulat Majlis Penasihat Generasi Angkasa Lepas (SGAC) Asia Pasifik (APAC), hari ini.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, penerokaan angkasa lepas merupakan usaha antarabangsa yang merentasi sempadan dan menyatukan budaya.

Justeru, kata beliau, penglibatan belia akan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan membolehkan perkongsian pengetahuan, sumber dan kepakaran yang boleh mempercepatkan penerokaan angkasa lepas serta memberi manfaat kepada semua.

“Apabila anak muda Malaysia melihat rakan sebaya mereka terlibat secara aktif dalam aktiviti berkaitan angkasa lepas, ia menimbulkan rasa bangga dengan pencapaian negara.

“Ini boleh mendorong lebih ramai individu muda untuk meneruskan kerjaya dalam bidang saing, teknologi dan kejuruteraan di samping mengukuhkan kumpulan bakat Malaysia dalam bidang kritikal ini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram