Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah. GAMBAR: Twitter MYSA

KERJASAMA erat yang terjalin selama 25 tahun antara syarikat pembuatan pesawat, Airbus dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam teknologi penderiaan jauh berjaya membantu negara mencari beberapa penyelesaian baharu bagi industri di negara ini.

Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah berkata hasil kerjasama itu membolehkan MYSA, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengoptimumkan maklumat satelit dan kini membangunkan 50 sistem aplikasi untuk dimanfaatkan pelbagai agensi kerajaan.

Ia termasuk Sistem Maklumat Geospatial Padi yang di mana imej satelit terkini yang beresolusi tinggi digunakan untuk mengenal pasti keluasan sebenar kawasan tanaman padi sekali gus membantu pihak berkuasa mengurus dan memantau tanaman padi negara dengan lebih cekap dan berkesan.

“Penyelesaian paling ketara ialah pemantauan tanaman padi seluruh negara melibatkan 12 jelapang padi seluruh negara bagi tujuan keterjaminan makanan.

“Melalui maklumat ini kita boleh membuat pengiraan atau penilaian sebenar pengeluaran dan keperluan dalam negara,” katanya kepada Bernama selepas taklimat Airbus bersama MYSA pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini.

Baca artikel berkaitan: MYSA tandatangani 2 MoU, 6 LoI dengan syarikat tempatan

Justeru Azlikamil berkata MYSA sangat menghargai kerjasama yang dijalin sejak 1998 bersama Airbus dalam membantu mengembangkan teknologi angkasa di negara ini dan akan meneruskan kolaborasi dengan syarikat itu bagi mencapai matlamat Dasar Angkasa Negara 2030.

Sementara itu, Ketua Asia Pasifik Airbus Defence and Space Johan Pelissier menekankan kepentingan mengukuhkan keupayaan dan kapasiti negara dalam bidang yang meningkatkan daya tahan infrastruktur kritikal dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Airbus telah menyokong industri angkasa Malaysia sejak 1998, bermula dengan imej angkasa lepas dan pada 2014, kami menghantar MEASAT-3b, satelit terbesar yang ditempah oleh sektor komunikasi Malaysia.

“Lima tahun kemudian, Airbus telah dipilih untuk membina MEASAT- 3d, satelit telekomunikasi pelbagai misi baharu untuk menggantikan kapasiti dan menambah perniagaan teras MEASAT di Malaysia, Asia, Timur Tengah dan Afrika dan satelit itu berjaya dilancarkan pada Jun 2022.

“Selain satelit telekomunikasi, Airbus bekerjasama dengan MYSA selama lebih 25 tahun untuk membangunkan keupayaan untuk penerimaan imej satelit dan MYSA hari ini menerima imej daripada satelit kami, optik dan radar, untuk membantu Malaysia memantau siang dan malam, dan mengoptimumkan sumber asli negara ,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram