Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup semasa majlis penutup LISF 2023, hari ini. GAMBAR: Facebook MYSA

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bercadang untuk meneruskan penganjuran program Space Tech Nexus terutama Forum Antarabangsa Angkasa Langkawi (LISF) pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penganjuran Space Tech Nexus sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA‘23) telah membuahkan hasil positif.

Menurut beliau, MOSTI telah melancarkan dua pelan tindakan iaitu Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 dan Malaysia Space Exploration 2030.

Arthur memaklumkan, kedua-dua pelan tindakan itu menyediakan garis panduan yang jelas kepada industri tempatan dan antarabangsa yang ingin bertapak di Malaysia.

Malah, beliau berkata, MOSTI turut komited untuk merealisasikan kedua-dua pelan tersebut khususnya berhubung tunjang keempat dan kelima yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan negara dan usaha memperkukuh rangkaian kerjasama strategik antarabangsa.

“Sememangnya Space Tech Nexus telah berjaya melepasi sasaran awal.

“Syabas sekali lagi kepada jawatankuasa penganjur dan rakan strategik industri. Pencapaian ini sebenarnya menyumbang kepada matlamat bersama slogan Malaysia Madani yang mementingkan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Baca artikel berkaitan: MOSTI gesa lebih banyak pelaburan ke industri angkasa lepas di Malaysia

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis penutup LISF 2023, hari ini.

Mengulas lanjut, Arthur turut percaya LISF 2023 akan meninggalkan kesan positif terhadap pertumbuhan ekosistem angkasa global secara keseluruhan dan di rantau Asia.

Namun begitu, beliau berkata, masih banyak perkara yang perlu diharungi kerana cabaran dalam penerokaan angkasa disifatkan kompleks.

“Kita mesti terus berusaha mencari sains dan teknologi; meneroka sempadan baharu serta mencari penyelesaian kepada masalah yang bakal dihadapi.

“Saya yakin bahawa perbincangan dan kerjasama yang telah berlaku di sini sejak beberapa hari lalu telah meletakkan kita pada laluan lebih cerah untuk penerokaan angkasa lepas,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram