Pelakon dan pengarah, Farid Kamil ketika hadir bagi prosiding sulh susulan permohonan cerai yang dibuat isterinya, Diana Danielle di Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PROSES sulh kali kedua berkenaan hak penjagaan anak antara pelakon Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle masih belum menemui titik noktah.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Syarie yang mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan yang turut memaklumkan kedua-dua pihak akan melalui sesi sebutan di mahkamah bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Tiada apa-apa persetujuan dicapai setakat ini. Maknanya, kedua-dua pihak akan pergi ke mahkamah bagi isu ini,” katanya kepada pemberita selepas proses sulh itu selesai di Mahkamah Syariah Shah Alam, petang ini.

Tambahnya, mahkamah telah menetapkan pada 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes tersebut.

Sementara itu, peguam Syarie yang mewakili Diana, Umi Kartini Abd Latiff antara perkara yang dimohon oleh pihaknya selaku plaintiff adalah hak jagaan anak kepada Diana serta hak melawat anak kepada pihak Farid.

“Kita kekal dengan pendirian untuk mendapatkan hak jagaan anak kepada Diana dan hak berjumpa anak kepada Farid. Kita tidak pernah nafikan Diana sentiasa fleksibel untuk Farid berjumpa dengan anak-anaknya,” ulasnya.

Manakala Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, menagaskan akan terus komited dalam usahanya mengembalikan semula isteri dan anak-anaknya.

“Saya akan terus berusaha mendapatkan keluarga saya, anak-anak saya serta isteri, dan saya sentiasa berdoa supaya satu hari nanti anak-anak dan isteri kembali,” katanya.

Ketika disoal mengenai peratusan keyakinannya untuk memulihkan kembali hubungannya bersama Diana, pelakon ‘Lagenda Budak Setan’ itu menyerahkan perkara itu kepada Allah seratus peratus.

“Tidak ada peratusan, namun saya serah kepada Allah agar hajat dan hasrat saya dimakbulkan. seratus peratus (saya serahkan) kepada Allah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dia juga telah mengemukakan surat kebenaran untuk berjumpa anak sulungnya, Muhammad bagi merealisasikan hasrat cahaya matanya itu menonton filem lakonan terbaharunya, ‘Anwar: The Untold Story’.

“Muhammad beria-ia tanya saya bila filem itu akan ditayangkan. Jika ada rezeki, saya telah menghantar surat untuk tujuan itu dan saya akan pastikan Muhammad dapat tonton filem itu,” jelasnya.

Sementara itu Diana enggan memberikan sebarang komen dan sekadar menggelengkan kepala selepas mengucapkan terima kasih dan ‘Alhamdulillah’ kepada pemberita ketika menuju keluar dari lobi mahkamah.

Pelakon, Diana Danielle ketika hadir bagi prosiding sulh susulan permohonan cerai yang dibuat terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana sebelum Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.