Khairy Jamaluddin. GAMBAR: Abd Razak Aid

KHAIRY Jamaluddin akan membuat keputusan sama ada menerima tawaran sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kadar segera.

Perkara tersebut dimaklumkan bekas ahli Parlimen Rembau itu seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Menurut Khairy, beliau merasakan tidak adil untuk membiarkan pihak yang membuat tawaran menunggu terlalu lama.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau akan menyampaikan keputusan tersebut kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.

“Justeru, dalam masa terdekat saya akan sampaikan keputusan kepada Muhyiddin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Designing the Future bertajuk ‘What’s Next For Malaysia’ yang diadakan di UCSI University Campus Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Khairy supaya tidak terlalu lama mempertimbangkan tawaran dikemukakan Muhyiddin.

Ahmad Faizal turut menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang boleh memainkan peranan penting.

Pada masa sama, kata beliau, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu juga pasti dapat menarik sokongan ramai sekiranya menubuhkan parti baharu.

Baca artikel berkaitan: Jangan terlalu lama timbang tawaran Bersatu, kata Peja kepada KJ

Namun begitu, Ahmad Faizal percaya Khairy mengetahui bahawa Perikatan Nasional (PN) merupakan wadah masa hadapan untuk negara.

Isnin lalu, Khairy dalam siri podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan bersama Shahril Hamdan berkata, beliau masih memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai tawaran sebagai ahli MPT Bersatu yang dikemukakan Muhyiddin.

Beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana bukan niatnya mahu menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Muhyiddin minggu lalu memaklumkan, keputusan mengenai tawaran kepada bekas Menteri Kesihatan itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti memandangkan beliau adalah tokoh politik muda yang berkaliber.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Khairy tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan di Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 2,693 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram