SENTUHAN magis yang diharap mampu disumbangkan Datuk Lim Teong Kim berakhir apabila bekas pengemudi skuad remaja Bayern Munich tidak lagi menjadi ketua jurulatih Perak FC.

Perak FC dalam kenyataan memaklumkan khidmat Teong Kim ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, The Bos Gaurus mengumumkan bekas pengendalinya, Yusri Che Lah mengambil alih tanggungjawab ditinggalkan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu.

“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta-merta.

“Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara untuk masa terdekat.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Teong Kim atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan itu.

Perak FC menampilkan prestasi terumbang-ambing dalam saingan Liga Super musim ini apabila hanya mampu melakar dua kemenangan sahaja daripada 12 perlawanan liga.

The Bos Gaurus ketika ini hanya mengumpul sembilan mata pada kedudukan ke-11 daripada 14 pasukan.

Pasukan berkenaan tewas di tangan Sabah FC 1-3 di Stadium Likas, kelmarin.

Baca artikel berkaitan: The Bos Gaurus guna sentuhan ‘Jerman’ Teong Kim

Teong Kim menjadi jurulatih ketiga yang digugurkan pasukan Liga Super musim ini selepas Choi Moon Sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United).

Bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich berusia 56 tahun menandatangani kontrak selama dua tahun pada September tahun lalu dengan pilihan perbaharui kontrak untuk setahun lagi.

Untuk rekod, Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan pasukan Bawah 19 tahun Bayern Munich.

Antara pemain terkemuka dunia hasil ‘air tangan’ Teong Kim termasuk Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bologna FC dan mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, Teong Kim pernah memegang jawatan Pengarah NFDP pada tahun 2013 dan dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada tahun 2016.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram