Anak adalah anugerah pemberian Allah untuk pasangan suami isteri. Jika ditanya, setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengharapkan kurniaan Allah yang amat bernilai ini.
Namun begitu, bukan semua pasangan bernasib baik dapat menimang cahaya mata. Justeru, pasangan yang telah diizinkan Allah untuk mendapat anak perlulah menjaganya dengan baik.
Bagi pasangan yang dianugerahkan anak kurang sempurna atau menghidap penyakit lebih-lebih pagi penyakit kronik pastinya ia menjadi tamparan hebat buat mereka. Walaupun sukar untuk menerima hakikat tersebut, namun sebagai hambanya mereka harus tabah dan reda untuk berhadapan dengan keadaan tersebut.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seorang ibu yang dikurniakan anak menghidap penyakit kronik seharusnya sabar dan reda menerima ujian daripada Allah. Dalam waktu yang sama, mereka juga perlu tabah dan sentiasa kuat menghadapi keadaan tersebut.
“Dalam menghadapi ujian seperti ini, seseorang ibu itu juga seharusnya tidak menyalahkan takdir yang menimpa dirinya. Mereka sebaliknya perlu sentiasa berfikiran positif dan tidak bersangka buruk kepada Allah. Sesungguhnya ujian bukan merupakan suatu musibah yang diberikan Allah, sebaliknya setiap ujian yang diberikan menandakan betapa DIA sangat mencintai hamba yang diuji-Nya itu.
“Allah menguji seseorang itu kerana Allah mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada DIA hendak menambahkan iman mereka atau sekadar ingin menguji sejauh mana tahap keimanan hamba-NYA.
“Malah dalam Al-Quran Allah juga ada menjelaskan bahawa Allah tidak akan sekali-kali menguji hamba-Nya di luar kemampuan hamba-Nya. Ini kerana DIA mengetahui tahap kekuatan hamba-NYA dalam menghadapi ujian yang diberikan.
“Tidak dinafikan, menjaga anak yang sakit bukan tugas mudah. Namun, di sebalik kesukaran tersebut sebenarnya tersembunyi satu hikmah yang sangat besar buat seorang wanita bergelar ibu.
“Melihat kepada situasi anak yang sakit, pengorbanan si ibu menjaga mereka mungkin tidak mampu dibalas oleh si anak. Namun, kebaikan ibu menjaga dan merawat mereka dengan sabar tidak sia-sia kerana Allah menjanjikan pahala yang bukan sedikit buat wanita-wanita cekal ini,” katanya.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286, yang bermaksud Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
Dalam menghadapi ujian-Nya, jangan lemah atau berputus asa kerana Allah sentiasa berada di sisi hamba-hambanya yang sabar. Selain diberikan pahala yang besar, ibu yang menjaga anaknya yang sakit juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah.
Segala kegusaran di hati diluahkan secara terus melalui doa. Malah hubungan sesama ahli keluarga juga semakin erat kerana saling memerlukan.
Sesungguhnya kekuatan seorang anak dating daripada seorang ibu. Disebabkan itu, seorang ibu yang menjaga anaknya yang sakit perlu memiliki emosi yang kuat, cekal dan tabah menghadapi ujian yang diberikan kepadanya. Jika tidak, kesannya akan turut sama dirasai oleh anak.