FILEM Tiger Stripes arahan sutradara muda Amanda Nell Eu melakar sejarah bergelar filem Malaysia pertama mengungguli hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes ke-62.

Dengan kemenangan itu, Amanda membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM49,602.

Presiden juri Minggu Kritik Festival Cannes, Audrey Diwan menerusi portal Screen Daily berkata, filem tersebut berjaya menarik perhatian barisan juri penilai.

“Tidak berpura dan tak berkrompomi, Tiger Stripes tidak terlalu mencuba. Ia cukup memuaskan untuk memenuhi setiap godaan.

“Ia adalah filem pertama yang terpilih. Karya tersebut juga sudah melepasi ujian masa,” katanya.

Sementara itu, Amanda terharu dengan pengiktirafan yang diberikan sekaligus dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Saya bersyukur penonton dapat menghayati nilai emosi, perjuangan dan humor dalam filem arahan saya itu.

“Ketika ini saya sedang menyiapkan filem terbaharu yang mengangkat kisah sebelum Perang Dunia kedua. Saya angkat kisah pengorbanan seorang ibu dan juga tanggungjawab sebagai isteri dalam keluarga,” ujarnya.

Filem itu akan turut dipertandingan untuk acara Camera d’Or prize, sebuah anugerah khas buat filem rencana terbaik. Pemenang akan diumumkan pada acara penutup Filem Festival Cannes pada keesokan harinya (Sabtu).

Tiger Stripes adalah filem keempat Malaysia yang bertanding untuk Minggu Kritik Antarabangsa Cannes sejak 2010.

Tiger Stripes diterbitkan oleh syarikat penerbitan Ghost Grrrl Pictures yang turut diasaskan oleh Amanda yang mengisahkan tentang seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengalami tekanan dan perubahan drastik sewaktu mencapai usia akil baligh.