
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan perbincangan dengan barisan peguam susulan kenyataan bahawa tiada bukti bahawa gabungan itu memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan judi.
Memetik laporan BH Online, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan dakwaan tersebut terutama bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya merupakan satu pembohongan dan fitnah.
Malah, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam menyatakan bahawa tiada satu pun berhubung dakwaan tersebut adalah betul.
“Jadi bagi saya pertuduhan itu fitnah dan suatu pembohongan…. kita akan bincang dengan peguam apa langkah seterusnya yang kita akan ambil terhadap kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu.
“Insya-Allah kita akan teliti dan yang penting …yang pertama, kita akan tuntut supaya mereka memohon maaf.
“Ini satu fitnah dan pertuduhan yang berat. Selepas itu saya tengok apa mereka akan lakukan selepas itu. Insya-Allah,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding sebutan tujuh kes menggunakan kedudukan dan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pas gesa PM mohon maaf dakwa PN terima dana syarikat judi
Semalam, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian seperti mana didakwa.
Katanya, SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, SPRM mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.
“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum yang lalu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Pas menyifatkan mustahil untuk PN menerima dana politik dari tauke dan syarikat judi ketika parti itu tegas menutup tempat perjudian, malah pernah dituduh Taliban.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram