
SEORANG jurukimpal dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana membuat hantaran jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi media sosial, hujung tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Mohd Masri Md Darus, 26, didakwa telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2022 sekitar jam 8.21 pagi menerusi akaun Twitter milik tertuduh.
Tertuduh dalam rayuannya selepas mengaku bersalah memohon hukuman ringan memandangkan sedang menjaga ibu yang uzur selain kerja yang tidak menentu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon agar hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh terutamanya masyarakat di luar sana untuk lebih berhati-hati ketika memuat naik sebarang hantaran.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Priscilla kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas tertuduh bermula hari ini.