Pernahkah anda merasai keenakan Miang Kham? Miang Kham adalah hidangan appetizer yang berasal dari negara gajah putih. Sajian ini sering disajikan di restoran yang menyajikan masakan asli Thailand. Jika orang dulu-dulu makan daun sirih, hari ini kita makan daun kaduk. Jom kita rasa keenakannya.

Miang kam dipercayai baik untuk pengaliran darah di dalam badan kerana campuran bahan yang digunakan seperti halia, bawang, limau dan kepingan kelapa yang sudah semestinya mempunyai kebaikan tersendiri. Halia misalnya, selain boleh melancarkan pengaliran darah ia boleh membuang angin yang berlebihan di dalam badan. Ini resipinya, jika ingin menyediakan dalam kuantiti yang banyak, baik buat aje… berbanding beli diluar, boleh tahan juga harganya
MIANG KHAM
BAHAN-BAHAN
6 helai daun kaduk
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar kacang tanah – sangai
2 sudu besar kepingan kelapa kering
1 labu bawang besar–cincang
8 tangkai cili padi – cincang
3 cm halia – cincang
2 biji limau nipis – cincang
BAHAN SOS
5 sudu besar udang kering
5 sudu besar kepingan kelapa kering – sangai
5 sudu besar kacang tanah – panggang
2 sudu besar sos ikan
250 gm gula kabung
150 ml air
CARA MENYEDIAKAN:
- UNTUK SOS : Didihkan air, masukkan gula kabung dan masak sehingga gula larut. Angkat dan tapis ke dalam periuk lain.
- Panaskan semula sambil dikacau perlahan-lahan. Sementara itu, kisar udang kering, kepingan kelapa kering dan kacang tanah.
- Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam periuk. Kacau sebati dengan gula kabung.
- Tambahkan sos ikan dan kacau lagi sehingga sos menjadi pekat. Ketepikan.
- CARA HIDANGAN MIANG KHAM : Ambil sehelai daun kaduk, lipatkan kiri dan kanan seperti ingin makan sirih.
- Letakkan sedikit udang kering, kacang tanah, kepingan kelapa kering, bawang besar, cili padi, halia dan limau nipis di dalamnya.
- Kemudian tuangkan sedikit sos. Lipatkan bahagian atas daun kaduk dengan kemas. Masukkan ke semua daun kaduk ke dalam mulut. Nikmatilah keenakan rasa Miang Kham, ada rasa pedas, masam, manis dan masin.