Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

BEBERAPA persatuan perfileman hari ini mengecam tindakan stesen televisyen Awesome TV yang disifatkan biadap terhadap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil susulan gesaan menteri itu supaya stesen televisyen menyelesaikan segera isu hutang tertunggak baru-baru ini.

Persatuan itu dalam kenyataan berasingan hari ini meluahkan rasa kecewa dengan tindakan stesen televisyen terbabit dan menggesa Awesome TV membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Fahmi selain bertanggungjawab menyelesaikan isu pembayaran melibatkan penerbit dan penggiat seni.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Pansha berkata kenyataan Awesome TV memberi gambaran seperti menteri tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan permasalahan industri dan memperjuangkan nasib penggiat seni yang tertindas. 

“Walaupun banyak kali membuat rundingan dengan Awesome TV dilakukan, namun penyelesaiannya gagal dan hambar. Mengheret penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar, bukanlah satu solusi yang bijak, baik dan jujur.

“Masalah ini harus diselesaikan secara tuntas oleh Awesome TV tanpa melibatkan pihak lain termasuk menggunakan saluran media,” katanya.

BERITA BERKAITAN Tuduhan tak berasas, Fahmi tak patut campur urusan – Awesome TV

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Dr Ahmad Ibrahim berkata kenyataan balas stesen televisyen berhubung teguran Fahmi itu disifatkan amat tidak beretika dan tidak berbudi bahasa selain amat mengecewakan.

“Kami menyarankan agar pihak Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi Fadzil atas kekasaran kenyataan mereka. Kami juga khuatiri perkara ini dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi berkata tindakan stesen televisyen itu turut menyinggung perasaan seluruh penggiat seni tempatan selain mencabar kesabaran dan sentimen anak seni tempatan.

Justeru, katanya SENIMAN menyarankan Awesome TV serta vendor terlibat dapat berjumpa secara terus dengan Menteri Komunikasi dan Digital untuk meleraikan permasalahan dalaman mereka, khususnya aspek penyiar atau penerbitan program secara beradap.

Senada dengan mereka, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khalil Saleh berkata persatuan itu menyokong penuh campur tangan menteri bagi membantu menyelesaikan masalah luar biasa Awesome TV yang memberi kesan kepada semua pihak terutamanya penerbit

“Sebagai penyiar yang telah dilesenkan oleh kerajaan, Awesome TV seharusnya mempunyai sikap yang lebih profesional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran dari Menteri KKD,” katanya.

Baru-baru ini, pada sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem di RexKL, Fahmi meminta Awesome TV melunaskan segera isu hutang tertunggak jika ada termasuk kes saman membabitkan beberapa penerbi, susulan itu, stesen televisyen itu dalam kenyataan balasnya meminta menteri itu tidak mencampuri hal-hal komersial mereka dengan pembekal.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram