Hasrat Siti Nurhaliza tercapai dapat berkongsi pentas dengan David Foster

Dari Penulis

IMPIAN penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi kenyataan apabila komposer dan produser terkenal bertaraf dunia, David Foster mengundang dirinya untuk menjayakan Konsert David Foster & Friends Asia 2023.

Doa yang dipanjatkan ketika kali pertama bergandingan menerusi persembahan khas dan tertutup pada 2014, akan terlaksana pada 7 Ogos depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Ujar Siti, pasukan penerima anugerah Grammy itu turut mengundang dirinya sebagai penyanyi juga untuk persembahan pada keesokan hari di Singapura.

“Masa saya membuat persembahan bersama David, saya berdoa agar itu bukan kali pertama dan terakhir dan mengharapkan ada peluang lagi selepas ini.

“Selepas itu, saya dipelawa beberapa kali untuk membuat persembahan bersama di Indonesia tapi saya anggap itu bukan rezeki saya.

“Saya memang tak akan sia-siakan peluang yang saya dapat kali ini sebab saya terpilih oleh pengurusan Foster berbanding ramai penyanyi muda yang lebih bagus,” katanya kepada URTV.

Konsert tema ‘berhibur sambil beramal’ itu merupakan anjuran Yayasan Prihatin Nasional yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Purnama Merindu itu menzahirkan minat terhadap Foster yang dipengaruhi oleh komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan ketika usianya 16 tahun.

Susulan itu, penyanyi lagu Wajah Kekasih itu sangat mengagumi dan meminati Foster dan juga penyanyi, Celine Dion.

“Saya ada rakam lagu nyanyian asal oleh Celine Dion, Color of My Love dalam album kedua sebab lagu itu merupakan lagu Foster yang paling saya suka.

“Semasa saya duduk di rumah arwah abang Adnan, dia selalu mainkan video konsert Celine dan masa itu bermulanya saya kenal dengan penyanyi hebat, dan Foster sebagai pencipta lagu yang hebat juga.

“Ketika itu, suara saya masih nyaring dan kecil, jadi memang saya boleh bawa lagu tu, bukan tu saja, saya pun suka juga lagu yang lain.

“Saya sebagai orang yang membesar dengan lagu-lagu Foster, saya akui peluang ini sangat bermakna untuk saya walaupun hanya seketika,” ujarnya ketika ditemui di sidang media Konsert David Foster & Friends Asia 2023 di sebuah hotel terkemuka, Kuala Lumpur.

Seterusnya, penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu bakal mempersembahkan lagu ciptaan komposer berkenaan dan salah satu lagu popularnya.

“Saya rasa apabila bakal berdiri sepentas dengan Foster, itu adalah impian setiap penyanyi. Saya rasa sangat kecil apabila melihat senarai nama yang sungguh hebat terlibat sama.

“Saya akui belum dikenali sehingga peringkat antarabangsa, sebelum ini pun saya hanya dikenali di Asia tapi saya percaya saya belum terlambat untuk dikenali sehingga tahap itu walaupun pada usia 44 tahun ini.

“Muzik itu boleh menyatukan walau kita datang dari latar yang berbeza. Mengenai pemilihan lagu, ia masih lagi dalam perbincangan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Selama ini tak pernah terfikir…,” – Iman Troye taruh kreativiti demi showcase solo

PENYANYI, Iman Troye meluahkan rasa teruja bercampur gemuruh apabila namanya dipilih sebagai antara pengisi utama bagi siri persembahan eksklusif,...

More Articles Like This