Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa meraikan keputusan SPM milik anaknya, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, hari ini.

KESIBUKAN tugas sebagai Menteri Pendidikan tidak menghalang Fadhlina Sidek meluangkan masa meraikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) milik anaknya, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, hari ini.

Thurayya Fadhilah, 18, merupakan pelajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meraih keputusan 9A 2B+.

Fadhlina dilihat hadir ke Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan Peperiksaan SPM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di SMA MAIWP sebelum ianya bermula iaitu pada pukul 10 pagi.

Lebih menarik, meskipun bergelar Yang Berhomat, beliau yang ditemani suami dilihat lebih selesa duduk di bahagian ibu bapa yang terletak di sudut belakang dewan.

Baca artikel lain: 10,109 calon SPM 2022 peroleh semua A

Fadhlina juga dilihat berdiri bertepuk tangan tanda sokongan setiap kali calon terbaik SPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur naik ke pentas untuk menerima sijil penghargaan termasuk dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Hajar Zalina Tahir berkata, keputusan SPM 2022 bagi Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan.

Jelasnya, ini di mana Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik iaitu 4.75 berbanding 4.81 pada SPM 2021, dengan GPN mengecil sebanyak 0.06 mata.

Katanya lagi, 17 calon atau 0.11 peratus daripada 15,102 keseluruhan pelajar menduduki SPM di WP Kuala Lumpur pada 2022 meraih pencapaian cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran iaitu meningkat 0.04 peratus berbanding 2021.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pencapaian calon SPM tahun 2022 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah lebih baik berbanding calon SPM tahun 2021. Tahniah.

“Seramai 501 orang calon membawa 3.3 peratus memperoleh keputusan cemerlang (Gred A) dalam semua mata pelajaran. Berbanding pada tahun lepas 484 calon. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.22 peratus,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram