Presiden Indonesia, Joko Widodo bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut orang ramai ketika meluangkan masa melawat sekitar Pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam isu melindungi tenaga kerja indonesia (TKI) di negara ini.

Beliau juga bersetuju dengan beberapa mekanisme berbentuk bilateral yang dikemukakan dalam menangani masalah ini demi memastikan situasi TKI terus terjamin.

“Saya sangat bersetuju sekali komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkuat perlindungan Indonesia dan juga penegakan hukum yang adil bagi para pekerja Indonesia.

“Saya dan Anwar juga sepakat membentuk mekanisme khusus bilateral untuk menyelesaikan masalah migran Indonesia dan juga mendorong komuniti learning centre di Semenanjung segera diwujudkan.

“WNI (warganegara Indonesia) yang ada di depot imigrasi juga bisa segera dipulangkan serta one channel system harus dioptimakan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Jokowi dan Anwar menyaksikan pertukaran dokumen bagi empat instrumen yang dimeterai bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua buah negara.

Antara instrumen yang dimeterai ialah membabitkan perjanjian rentas sempadan, perdagangan sempadan, kerjasama promosi dan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.

Jokowi kini dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Presiden Indonesia itu dijadualkan menghadiri jamuan minum petang ini bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Dalam pada itu, Jokowi turut menghargai sokongan Malaysia dalam mendepani diskriminasi terhadap komoditi kelapa sawit di Brussel, Belgium dan beranggap komitmen seperti ini harus diperkuatkan lagi.

“Terkait dengan kolaborasi untuk melawan diskriminasi kelapa sawit dan juga komoditi lain. Saya sangat menghargai baru-baru ini dilakukan kerjasama antara Indonesia, Malaysia.

“Kolaborasi semacam ini harus diperkuat. Jangan sampai komoditi yang dihasilkan oleh Malaysia dan Indonesia didiskriminasi di negara lain,” katanya lagi.

Mengulas mengenai beberapa instrumen dimeterai, beliau menyambut baik penyelesaian rundingan berkait Laut Sulawesi yang memakan masa begitu lama untuk dimuktamadkan.

“Selepas 18 tahun proses rundingan diadakan, alhamdulillah hari ini ia dapat diselesaikan. Saya juga berharap rundingan perbatasan yang lain termasuk Pulau Sebatik dan lainnya juga dapat diselesaikan kelak.

“Harapnya, Perdana Menterinya masih Datuk Seri Anwar dan Presiden Indonesianya masih Jokowi,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram