PERSEMBAHAN yang cukup bertenaga, agresif dan hebat daripada empat kugiran yang digilai ramai iaitu Insomniacks, Masdo, Bunkface dan Hujan telah menggegarkan Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, malam tadi.
Selain itu, perkara yang paling dikagumkan sebelum memulakan persembahan adalah pihak penganjur, MND Sport & Event Sdn Bhd memberi laluan azan waktu Isyak terlebih dahulu.
Showcase Jiwa Kacau 2023 itu dimeriahkan oleh 7,000 penonton malah mereka betul-betul menikmati setiap persembahan kugiran tersebut dengan menyanyikan bersama-sama bait-bait lirik yang didendangkan oleh bintang pujaan mereka.
Tirai persembahan dimulakan dengan kumpulan pop rock Insomniacks yang menapak dalam industri sejak tahun 2015 dengan menyanyikan enam buah lagu iaitu Langgar, Here Again, Igauan Malam, Reminisensi, Sempurna dan Pulang.
Seperti yang diketahui umum, seleksi lagu yang didendangkan merupakan lagu-lagu ‘galau’ atau sedih untuk jiwa para anak muda kini yang menggambarkan perasaan mereka sendiri.
Nama kumpulan yang diinspirasikan daripada watak Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Do Re Mi, kugiran Masdo turut mendedangkan lagu Janji Manis, Miss Flower, Terunadara, Inilah Jalannya, Dinda, Bunga, MPRNR, dan Bercanda Di Malam Indah.

Penonton masih teruja menyanyikan sama-sama bait-bait lirik kugiran Masdo menerusi muzik yang berasaskan genre pop 60-an yang telah digubah mengikut cita rasa masa kini.
Dalam pada itu, Stadium Melawati Shah Alam terus dihangatkan oleh lompat tari dan jeritan penonton yang turut sama menenggelamkan suara sambil digegarkan oleh kumpulan muzik punk rock Malaysia, Bunkface yang menyanyikan lapan buah lagu iaitu Bunk Anthem, Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi.
Satu persembahan yang cukup lincah dimeriahkan oleh para peminat yang turut sama mempunyai energi yang tinggi dengan vokalis Bunkface, Sam, saling memberi sambutan yang hangat sesama mereka.

Konsert yang berlangsung selama lebih kurang empat ke lima jam ditutup dengan persembahan bertenaga daripada Hujan yang mendendangkan sembilan buah lagu iaitu Obsesi, Mencari Konklusi, Dugaannya, Perindu Kalbu, Jiwa Kelajuan, Ahmoi Chantek, Lonely Soldier Boy, Empayarmu dan Aku Skandal.
Adrenalin para penonton kian memuncak walaupun menerusi persembahan oleh kumpulan akhir malah tidak mematahkan semangat mereka untuk terus melompat tari dan memeriahkan lagi suasana gamat itu.
Bagaimanapun, vokalis kumpulan Hujan, Noh, meminta para pengawal keselamatan untuk keluar dari kawasan itu dengan bertujuan memberikan kebebasan kepada para peminat yang telah membeli tiket beratus-ratus untuk mereka ‘enjoy’ konsert itu sepuas-puasnya.
Konsert Jiwa Kacau 2023 ini merupakan konsert terakhir yang diadakan di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam yang juga bakal dirobohkan untuk pembinaan semula.

