BEKAS Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin yang diarah membayar RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi kepada parti lamanya mendakwa keputusan itu sebagai bercanggah dengan hak rakyat.
Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Ampang itu juga mendakwa tuntutan berjumlah RM10 juta dibuat PKR adalah sebagai tidak berasas.
Memetik laporan BH Online, Zuraida mendakwa keputusan itu melucutkan hak rakyat untuk menyertai dan meninggalkan sesuatu pertubuhan.
Justeru, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
“Keputusan ini adalah salah kerana ia melucutkan hak rakyat untuk bersekutu atau berpisah yang merupakan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya akan merayu keputusan ini bukan sahaja untuk saya tetapi demi menegakkan hak penting ini yang menjadi milik semua rakyat Malaysia.
Baca artikel berkaitan: Mahkamah perintah Zuraida bayar PKR RM10 juta
“Ini juga bertentangan dengan dasar awam dan bertentangan dengan prinsip asas demokrasi. Juga tiada justifikasi pada tuntutan RM10 juta,” katanya hari ini.
Jumaat lalu, Zuraida diperintah membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bin yang mengikatnya kepada PKR.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.
Mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000.
Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 September 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.
Kenyataan tuntutan PKR mengatakan bahawa Zuraida telah menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan.
Hakim Akhtar yang menyampaikan keputusan itu melalui prosiding secara dalam talian, berkata hujah Zuraida bahawa beliau menandatangani bon itu dalam keadaan dures atau paksaan adalah tidak berasas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

