Menyedari segelintir pelajar dan ibu bapa masih belum diberi pendedahan sepenuhnya akan hala tuju Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK), Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni mengambil inisiatif mengadakan Konvensyen UPKK 2023 – Hala Tuju Peperiksaan UPKK Tahun 5 bagi memberi pencerahan akan peri pentingnya peperiksaan ini kepada masa depan pelajar.
Menurut Ketua Bahagian Operasi Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni, Ustaz Zulkarnain Ramlan, sijil UPKK merupakan salah satu syarat wajib bagi kemasukan pelajar ke sekolah menengah aliran agama dan ia terpakai bagi sekolah agama seluruh Malaysia.
“Program yang dijalankan hari ini untuk memberi pemahaman dan membuka mata ibu bapa ke mana sebenarnya hala tuju anak-anak apabila mengambil UPKK dan atas sebab itu kami menjemput panelis seperti Ustaz Mohd Faizal Mohd Norza (Penyelia KAFA, Unit Pengurusan Kurikulum Bahagian Pendidikan JAWI) dan Ustaz Misron Ali (Penolong Pengarah Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) bagi memberi maklumat yang lebih tepat dan lengkap. Dan alhamdulillah seramai 1000 peserta mengambil bahagian pada hari ini.
“Buat makluman, UPKK merupakan peperiksaan untuk kelas KAFA dan ia bermula pada 1994. Sijil peperiksaan ini berguna sebagai salah satu elemen atau syarat untuk ke sekolah menengah aliran agama.
“Kita tanamkan pelbagai impian untuk anak-anak dan dalam masa yang sama, kita tidak mahu anak-anak ini ketinggalan dalam bab agama. Walau menjadi doktor atau jurutera, akhirnya dia harus sedar agama harus menjadi asas dalam apa sahaja yang dilakukan,” jelasnya kepada media.
Tidak hanya memberi fokus kepada kelas harian dan secara dalam talian, ulas Zulkarnain, Hatimurni turut berperanan menjalankan pelbagai program fokus hanya untuk pelajar tahun lima yang bakal menduduki UPKK.
“Kami serius dalam mengambil inisiatif mendidik pelajar tahun lima khususnya yang mengambil UPKK dengan pelbagai program seperti UFC – UPKK Final Countdown di mana kami kumpulkan 1200 peserta untuk sesi pecutan akhir menuju ke UPKK.
“Malah kami turut mengadakan program Bootcamp Hatimurni bersama pelajar bagi berkongsi teknik menjawab soalan dan sesi motivasi,” ulasnya lagi.
Berkongsi akan kebimbangan sesetengah pelajar yang masih ketinggalan dalam bab asas agama, jelasnya, ibu bapa harus memainkan peranan memberikan contoh terbaik dalam memberikan pendidikan awal di rumah.
“Ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan dengan menghantar anak-anak ke kelas mengaji, namun tidak dinafikan masih ramai lagi anak-anak yang ketinggalan dalam bab asas mengaji dan asas solat.
“Menurut ajaran Islam, sebenarnya anak-anak ini harus dididik sedari kecil lagi kerana mereka akan meniru dan mengikut apa yang ibu bapa buat. Dan saya cadangkan usia lima tahun untuk hantar anak ke kelas mengaji dan belajar asas solat,” kongsinya.
Terdahulu, Konvensyen UPKK 2023 yang berlangsung di Dewan Azman Hashim Anjung Razak, UTM Kuala Lumpur turut menjemput penceramah bebas, Syamsul Debat bagi perkongsian tentang adab dan pengurusan emosi keluarga.
Pusat Pendidikan Islam Swasta – Hatimurni telah ditubuhkan semenjak tahun 2007 oleh pengasasnya Ustazah Siti Khadijah Mohni dan suami, Ustaz Engku Ahmad Fadzil dengan fokus utamanya untuk membantu ibu bapa dalam memberikan pendidikan agama kepada anak-anak dan penerapan adab dan akhlak Rasulullah SAW ke dalam diri anak-anak.
Hatimurni beroperasi di tiga pusat iaitu di Wangsa Maju, Setiawangsa dan Seksyen 7 Shah Alam. Hatimurni turut menawarkan kelas pendidikan agama secara dalam talian yang bukan sahaja dihadiri oleh anak-anak di Malaysia malahan dari luar negara sehingga ke Dubai dan Qatar.
Untuk maklumat lanjut tentang kelas yang disediakan Hatimurni, boleh hubungi 019-6664225 atau 013-3044225.