“KELOMPOK itu akan tetap bersekongkol untuk pertahankan cara mereka dan harta mereka.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas pertemuan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilapor Astro Awani.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menaruh keyakinan bahawa pertemuan Dr Mahathir dengan Muhyiddin itu tidak akan menggugat sokongan terhadap PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Perdana Menteri turut menyifatkan pertemuan itu bukanlah suatu perkara baharu.
Beliau berkata, ‘kelompok tertentu’ akan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan cara mereka.
“Kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Pertemuan Muhyiddin-Mahathir demi perkukuh perpaduan Melayu, tingkat sokongan PN
Selasa lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Proklamasi Orang Melayu mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Muhyiddin.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memaklumkan, perjumpaan dua pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasa serta mengukuhkan kedudukan orang Melayu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataan pula berkata, pertemuan itu adalah untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada PN.
Beliau berkata, pertemuan itu juga sebagai persediaan dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi.
Sebagai rekod, PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

