Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohamad Zahari menunjukkan motosikal jenis Honda RS-X FS150 yang dirampas susulan penangkapan tiga orang suspek ‘Geng Indren’ yang aktif melakukan kegiatan ragut di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam.

TIGA suspek kejadian kes ragut di Shah Alam yang tular baru-baru ini berjaya ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah apartmen dekat Kepong kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, geng melibatkan tiga lelaki tempatan itu diketuai oleh suspek berusia 20 tahun dikenali sebagai Indren.

Katanya, kesemua suspek berusia 19 hingga 21 tahun itu menjadikan warga emas sebagai sasaran utama meragut.

“Selain meragut di Kuala Lumpur, geng ini juga terlibat dalam satu kejadian yang tular di Shah Alam,” dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Katanya, tangkapan itu dilakukan susulan satu laporan polis melibatkan kejadian ragut membabitkan seorang warga emas lelaki berusia 74 tahun di Kepong, 28 Jun lalu.

“Geng ini akan melakukan jenayah di kawasan terbuka di tepi jalan.

Mereka menjadikan warga emas yang menunggang dan membonceng motosikal sebagai sasaran utama,” katanya.

Tambahnya, hasil ragut akan dikongsi sesama mereka bagi kegunaan harian dan membeli dadah.

“Hasil ujian kesemua suspek didapati positif dadah.

“Dua daripada suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi tiada rekod,” ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, susulan penangkapan itu pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda serta pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian.

“Kesemua suspek direman untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.