PELAKON dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, terkejut dengan sambutan diterima dari warga Tiktok di Indonesia sebaik saja agensi Tiktok miliknya, Vibes International Agency (VIA) dilancarkan di negara itu pada 6 Julai lalu.
Vibes International Agency, sebuah agensi TikTok yang ditubuhkan Eizlan pada April lalu, bernaung di bawah syarikat Kami Sempoi International Agency yang diasaskan oleh To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee.
“Sehingga kini, VIA berjaya mendapat sambutan lebih 170,000 pengikut di laman sosial rasmi selain hampir 1 juta tontonan pada kandungan yang dimuat naik.
“Bayangkan dalam tempoh kurang seminggu dilancarkan di negara itu, sambutan diterima kami sangat menggalakkan,” katanya.
Bagi pengurusan di Indonesia, VIA melantik pengurus bakat warga tempatan, Kusno Giwantoro yang bertanggung jawab dalam mengendalikan bakat di sana.
Eizlan turut berkata, sambutan memberangsangkan itu membakar semangatnya untuk terus meletakkan agensi Tiktok miliknya di peringkat antarabangsa.
“Selepas Singapura dan Indonesia, kami mensasarkan negara Thailand dan Filipina pula, kemudian menembusi negara-negara selain Asia Tenggara sekali gus meletakkan VIA sebuah agensi Tik Tok bertaraf antarabangsa yang membanggakan Malaysia,” katanya.
Selain Eizlan, turut bersama VIA ialah Datuk Fyzal Fauzy, Datin Edriaty Idrus, Azri Abbas (Bossklan Agency) dan Muhammad Syukri Suhaimi (Pengurus Besar Kami Sempoi International Agency).
Agensi TikTok ini memainkan peranan sebagai satu organisasi yang mengawal selia dan mempromosikan Tik Tok Live di platform Tik Tok selain bertanggungjawab memberikan latihan serta menggalakkan penggunanya untuk menceburkan diri sebagai pengacara siaran langsung Tik Tok .